Sembilan lelaki Rohingya ditahan main takraw nak keluar peluh

Sembilan lelaki Rohingya ditahan kerana melanggar PKP untuk bermain sepak takraw di Langkawi semalam.
Sembilan lelaki Rohingya ditahan kerana melanggar PKP untuk bermain sepak takraw di Langkawi semalam.
A
A
A

LANGKAWI - Sembilan warga Myanmar ditahan polis, di sini semalam ketika bermain sepak takraw dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan selepas menerima maklumat daripada orang awam dan mendapati sekumpulan lelaki itu mendirikan gelanggang sepak takraw sendiri di satu kawasan tanah lapang.

"Susulan itu, kita tahan mereka semua yang dipercayai dari etnik Rohingya selepas didapati sedang bermain sepak takraw ketika tempoh PKP.

"Ketika disoal, mereka memaklumkan bermain sepak takraw untuk mengeluarkan peluh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu mengulas mengenai pelaksanaan PKP di Langkawi, Mohd Iqbal berkata, masih terdapat individu yang mengingkari PKP berikutan seramai 34 individu berusia antara 14 hingga 45 tahun telah ditahan sekitar pulau legenda berkenaan.

"Daripada jumlah itu, seramai 20 individu ditahan merupakan rakyat tempatan, sembilan daripadanya merupakan warga Myanmar, dua lelaki Thailand, seorang lelaki Netherland, seorang dari Sudan dan seorang lagi dari Libya," katanya.

Menurutnya, dalam operasi diketuai beliau semalam, masih terdapat individu yang dikesan melakukan aktiviti ketika tempoh PKP seperti meronda dengan menunggang motosikal, bermandi-manda di laut dan berhimpun di tepi jalan.

"Susulan itu, kesemua mereka ditangkap di bawah Peraturan 7 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 Sek 280 KK dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, semua pihak diingatkan memberi kerjasama untuk memastikan diri sendiri dan ahli keluarga terus berada di dalam rumah jika tiada urusan penting di luar atau berdepan dengan tindakan undang-undang kerana ingkar perintah tersebut.