Dakwa ayah kerap terjatuh, rupanya dipukul anak hingga maut

SERDANG – Helah seorang lelaki mendakwa bapanya terjatuh beberapa kali di rumah terbongkar selepas hasil pemeriksaan perubatan mendapati warga emas itu dipercayai dipukul hingga mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Polis Muhamad Farid Ahmad berkata, kes itu terbongkar selepas seorang pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras menerima mangsa berusia 76 tahun itu dalam keadaan separa sedar pada jam 3 petang, 19 Januari lalu.
"Mangsa dibawa ke zon merah hospital berkenaan oleh anaknya berusia 40 tahun yang mendakwa bapanya terjatuh beberapa kali di rumah mereka di Rancangan Rumah Murah Seri Kembangan.
"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal mendapati corak lebam pada badan mangsa tidak teratur dan disyaki akibat kecederaan disebabkan objek tumpul," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menahan anak mangsa di lobi Jabatan Kecemasan HCTM kira-kira jam 9.30 malam hari sama.
"Kes pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sehingga 30 Januari ini.
"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau jenayah dan narkotik, manakala saringan ujian air kencing didapati negatif,” ujarnya.
Menurutnya, pada 22 Januari lalu, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan kepala disebabkan hentakan objek tumpul.
"Susulan itu, siasatan kes telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Kes masih dalam peringkat siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan," katanya.
Tambahnya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Serdang di talian 03-8074 2222.
Ringkasan AI
- Helah seorang lelaki mendakwa bapanya terjatuh terbongkar apabila pemeriksaan perubatan mengesahkan lelaki tua itu dipukul
- Pegawai perubatan di HCTM Cheras menerima mangsa berusia 76 tahun dalam keadaan separa sedar
- Anak mangsa berusia 40 tahun mendakwa kejadian disebabkan oleh terjatuh di rumah
- Polis menahan anak mangsa selepas kecederaan disyaki akibat hentakan objek tumpul
- Siasatan kes ditingkatkan ke bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan setelah mangsa meninggal akibat kecederaan kepala
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

