Tiga rumah setinggan musnah terbakar

KUALA LUMPUR – Tiga buah rumah setinggan dan dua kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Bellamy di sini pada Jumaat.
Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohammad Faiz Harzmi berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS 999 pada jam 7.38 pagi.
"Sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah bersama BBP Pudu segera digerakkan ke lokasi.
"Setibanya di lokasi, kita mendapati kebakaran melibatkan tiga buah rumah setinggan, dua kontena sejuk beku dan dua buah kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohammad Faiz berkata, tindakan pemadaman dilaksanakan menggunakan satu aliran hos dengan tiga pancutan daripada pam jentera bagi memadam kebakaran serta mengawal api daripada merebak ke kawasan sekitar.
"Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8:20 pagi dengan anggaran kemusnahan sebanyak 100 peratus," katanya.
Beliau berkata, operasi pemadaman telah berjaya disempurnakan sepenuhnya dan kerja-kerja overhaul telah dilaksanakan.
"Sehingga kini kita masih tidak mendapat maklumat sekiranya ada mangsa terlibat. Sepanjang operasi dimaklumkan oleh saksi bahawa tiada individu terperangkap atau cedera akibat kebakaran.
"Punca kejadian masih dalam siasatan oleh Unit Siasatan Kebakaran," ujarnya.
Ringkasan AI
- Kebakaran di Kampung Bellamy musnahkan tiga rumah setinggan dan dua kenderaan
- Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan jam 7.38 pagi
- Pasukan bomba dari BBP Hang Tuah dan BBP Pudu digerakkan ke lokasi
- Kebakaran melibatkan tiga rumah setinggan, dua kontena sejuk beku dan dua buah kenderaan
- Kebakaran dikawal sepenuhnya pada jam 8:20 pagi, tiada maklumat mangsa terlibat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
