Lelaki maut tercampak dari pacuan empat roda

SIMPANG AMPAT – Seorang lelaki maut manakala seorang wanita warga China terselamat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Tasek Mutiara 1 di sini pada petang Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu, mangsa, Teow Fu Keong, 26, yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton tercampak keluar dari kenderaannya selepas bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda CX-5.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 petang sebelum sebuah jentera bersama 10 anggota digerakkan ke lokasi.
“Ketika tiba di tempat kejadian pada jam 5.07 petang, kami mendapati seorang mangsa lelaki tercampak keluar dari kenderaan Mitsubishi Triton,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pemandu SUV Mazda CX-5 iaitu seorang wanita warga asing berusia lingkungan 40-an tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kerja-kerja pembersihan jalan turut dilakukan berikutan tumpahan minyak di lokasi kejadian,” ujarnya.
Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.45 petang dengan bantuan agensi lain termasuk polis dan KKM.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki maut manakala seorang wanita warga China terselamat dalam kemalangan di Jalan Tasek Mutiara 1, Simpang Ampat
- Mangsa, Teow Fu Keong, 26, tercampak dari Mitsubishi Triton setelah bertembung dengan Mazda CX-5
- Kemalangan berlaku kira-kira jam 4.55 petang
- Pemandu SUV Mazda CX-5, wanita warga asing dari China, tidak mengalami kecederaan
- Operasi penyelamat ditamatkan pada jam 6.45 petang dengan kerjasama polis dan KKM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

