Kes jenayah Najib tiada kaitan saman sivil SRC yang sedang berjalan - Peguam

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu diberitahu bahawa kes jenayah Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan SRC International Sdn Bhd tidak mempunyai kaitan langsung dengan saman sivil syarikat tersebut terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, berhujah bahawa kes jenayah dan sivil adalah tertakluk kepada standard pembuktian yang berbeza.
"Dalam kes jenayah, kesalahan tertuduh perlu dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah manakala dalam kes sivil, hak pihak-pihak atau perkara yang dipertikai akan diputuskan berdasarkan imbangan kebangkalian.
"Jika mana-mana pihak bergantung kepada keputusan mahkamah jenayah dan menuntut agar mahkamah sivil memberikan kepercayaan kepada keputusan yang sama, pihak itu bertanggungjawab untuk mengemukakan bahan tambahan yang dapat menyokong pemerhatian dan keputusan mahkamah jenayah," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berhujah pada pendengaran saman AS$1.18 bilion yang difailkan SRC terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.
Muhammad Shafee berkata, sekiranya terdapat sebarang bahan dalam kes itu yang boleh mengukuhkan atau mencabar keputusan mahkamah jenayah maka mahkamah sivil tidak dihalang daripada bergantung kepadanya.
"Dalam perbicaraan kes jenayah, sebarang dokumen yang memudaratkan tertuduh biasanya akan dibantah atau dicabar sebagai sebahagian daripada prosedur standard.
"Bagaimanapun, dalam perbicaraan kes sivil, saya bercakap bagi pihak diri sendiri, saya akan membantah banyak dokumen yang dikemukakan… jika dokumen itu memiliki kekurangan daripada aspek asal usul, sejarah dan ketulenannya, saya akan membantah kerana ia boleh menjejaskan keputusan kes," katanya.
Saman itu, yang difailkan pada 2021 membabitkan pinjaman RM4 bilion daripada KWAP, yang diberikan kepada SRC dalam dua peringkat iaitu pada separuh kedua 2011 dan separuh pertama 2012 dan SRC kini memohon deklarasi daripada mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian syarikat itu sebanyak AS$1.18 bilion akibat pelanggaran tugas dan amanah.
SRC kini memohon perintah agar Najib membayar pampasan sebanyak AS$120 juta manakala Nik Faisal membayar AS$2 juta kepada SRC International, selain ganti rugi.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang bagi kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok. - Bernama
Ringkasan AI
- Kes jenayah Najib Razak tidak berkaitan langsung dengan saman sivil SRC International terhadapnya
- Kes jenayah dan sivil mempunyai standard pembuktian yang berbeza
- Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib dalam pendengaran saman AS$1.18 bilion oleh SRC
- Saman SRC melibatkan pinjaman RM4 bilion dari KWAP kepada SRC
- Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang bagi kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
