Harga barang masih terkawal

Barangan keperluan seperti barangan basah, beras, telur dan tepung masih mencukupi malah harganya juga masih terkawal di kebanyakan tempat.
Barangan keperluan seperti barangan basah, beras, telur dan tepung masih mencukupi malah harganya juga masih terkawal di kebanyakan tempat.
A
A
A

HARGA barang makanan masih dalam keadaan terkawal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua minggu lalu.

Berdasarkan hasil tinjauan di beberapa tempat, didapati harga bagi satu kilogram ayam dijual di antara RM5 hingga RM8, sementara harga telur gred A adalah RM11.40 sepapan, bawang besar RM11 dan sayur bayam antara RM3 hingga RM5 sekilo.

Di PERAK, tinjauan di beberapa kedai runcit mendapati bekalan keperluan harian seperti beras, telur, sayur-sayuran dan sebagainya masih mudah diperoleh kecuali bawang besar yang kebanyakannya kehabisan stok.

Bagaimanapun, di pasar raya pula, kesemua barangan keperluan harian masih banyak malah orang ramai tidak membuat pembelian panik.

Pihak pengurusan pasar raya menetapkan had kuantiti tertentu kepada pelanggan bagi beberapa barangan keperluan seperti minyak masak dan susu tepung.

Pengurus Wilayah Zon Utara Mydin Mohamed Holding, Vishnu Varthana berkata, pihaknya memberi jaminan semua bekalan keperluan harian di pasar raya itu mencukupi.

Di TERENGGANU, tinjauan mendapati kebanyakan pasar raya di situ tidak mendapat bekalan telur gred A sejak tempoh PKP yang diumumkan bermula 18 Mac lalu.

Setiausaha Pengarah Sabasun Hyperuncit Sdn Bhd, Wan Zulaidi Wan Abd Fatah berkata, setakat ini bekalan telur yang sampai ialah telur gred B, C dan D.Bagaimanapun, katanya harga bagi barangan lain seperti ayam, bawang dan sayur bayam tidak berubah.

Artikel Berkaitan:

“Di sini kita menjual sekilogram ayam standard pada harga RM5.98. Harga akan menjadi RM6.59 sekilo jika pembelian melebihi dua ekor ayam.

“Bagi bawang besar pula harganya RM5.98 sekilo dan RM3.69 bagi bawang holland manakala bayam hijau pula RM3.95 sekilo,” katanya.

Di JOHOR BAHRU, tinjauan Sinar Harian di Kipmall Masai, Pasir Gudang mendapati ayam dijual pada harga RM7 sekilo dan bekalan tersebut masih mencukupi walaupun permintaannya dikatakan tinggi setiap hari.

Telur ayam gred A pula dijual pada harga RM11.40 di kedai-kedai runcit manakala di pasar mini dan pasar awam sekitar pekan Kota Masai pada harga RM11.90.

Bawang besar import dari India pula dijual pada harga RM11 hingga RM12 di pasar-pasar awam manakala sayur bayam pula RM5.50 sekilo.

Di PAHANG, harga barang keperluan tidak banyak berubah walaupun berdepan dengan arahan PKP.

Seorang peniaga kedai runcit, Rohaizat Ahmad, 54, mendakwa harga telur juga tidak menentu walaupun ia barang kawalan.

“Harga berbeza dan ada ketika mengalami kenaikan dan penurunan ketara mengikut gred telur. Hari ini harga telur sekitar RM12 hingga RM10 mengikut gred.

“Harga ayam pula menurun daripada RM8 sekilogram kepada RM7.50," katanya.

Jelasnya, harga bayam masih sama RM6 sekilogram manakala bawang besar pula RM8.50 berbanding RM8.20 sebelum PKP.

Di KELANTAN, harga barang keperluan seperti ayam, telur, bayam dan bawang besar masih rendah dan tiada kenaikan harga.

Ayam biasa dijual pada harga RM5.90 sekilo, manakala telur ayam gred A pula RM12 sepapan. Harga bayam pula RM4 sekilo manakala bawang besar juga RM4 sekilo.

Di KEDAH, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, tinjauan di bahagian barangan kering mendapati harga bawang berlaku sedikit kenaikan susulan bekalannya kurang di pasaran, kemungkinan akibat kekurangan import. Harga sayur-sayuran juga tiada kenaikan harga.

“Disebabkan itu, diharap pengguna tidak panik membuat pembelian barang. Cake juga berharap pihak berkuasa dapat memantau peniaga yang tidak meletakkan harga barang serta menaikkan harga sesuka hati kerana ia menekan pengguna,” katanya.

Di PULAU PINANG, harga bekalan bahan mentah di pasaran masih lagi terkawal walaupun berlaku sedikit kenaikan disebabkan keadaan semasa negara pada masa ini.

Peniaga, Mohd Hasnizam Hussain berkata, walaupun berdepan sedikit kesukaran dalam mendapat bekalan dan kehilangan pelanggan sepanjang penguatkuasaan PKP namun itu bukan alasan untuk peniaga meletakkan harga sesuka hati.

Menurutnya, ikan kembung yang dijual pada masa kini hanya RM3 sekilogram berikutan terdapat banyak bekalan pada masa ini.