Kes pasport terbang: 20 pegawai imigresen dibuang kerja

Seramai 20 pegawai JIM telah dibuang kerja selepas didapati terlibat dalam kegiatan pasport terbang sejak 2022 hingga 2025. Gambar kecil: Zakaria
Seramai 20 pegawai JIM telah dibuang kerja selepas didapati terlibat dalam kegiatan pasport terbang sejak 2022 hingga 2025. Gambar kecil: Zakaria
A
A
A

PUTRAJAYA – Seramai 20 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah dibuang kerja selepas didapati terlibat dalam kegiatan pasport terbang sejak 2022 hingga 2025.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam tempoh sama seramai 41 pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib kerana didapati terlibat dalam kes berkaitan pasport terbang.

"Daripada jumlah tersebut, 20 pegawai telah dijatuhkan hukuman buang kerja selepas disabitkan dengan kesalahan.

"Tindakan ini diambil hasil siasatan dalaman yang telus dan berlandaskan peraturan ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Zakaria berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pada Isnin berhubung laporan siasatan berkaitan dakwaan aktiviti pasport terbang di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

"JIM menghormati peranan dan fungsi EAIC sebagai badan pemantau integriti agensi penguatkuasaan, serta memandang serius setiap dapatan dan syor yang dikemukakan," katanya.

Sehubungan itu katanya, JIM telah dan sedang mengambil tindakan susulan selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan perkhidmatan awam dan mekanisme tatatertib yang berkuat kuasa.

"Berhubung kes yang dilaporkan, JIM mengesahkan bahawa tindakan tatatertib telah dilaksanakan terhadap pegawai terlibat selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

"Langkah ini mencerminkan pendirian tegas JIM bahawa sebarang salah laku, khususnya yang melibatkan integriti dan kepercayaan awam, tidak akan dikompromi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zakaria berkata, selain itu, JIM menegaskan bahawa setiap kes yang dirujuk oleh EAIC akan diteliti secara menyeluruh dan ditangani dengan serius tanpa sebarang kompromi.

"Bagi tahun lalu, sebanyak 61 kes telah dirujuk oleh EAIC dan kesemua kes terlibat dibawa ke Mesyuarat Jawatakuasa Aduan dan diambil tindakan selaras dengan proses serta peruntukan tatatertib yang berkuat kuasa.

"Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan JIM terhadap prinsip akauntabiliti, integriti dan tadbir urus yang baik," katanya.

Beliau berkata, JIM akan terus memperkukuh pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), meningkatkan pemantauan dalaman serta melaksanakan langkah penambahbaikan secara berterusan.

"Ia bagi memastikan perkhidmatan imigresen dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan selari dengan peraturan yang ditetapkan, demi memelihara kepercayaan rakyat dan kepentingan negara," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Seramai 20 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia telah dibuang kerja kerana terlibat dalam kegiatan pasport terbang
  • Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, menyatakan 41 pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib atas kes yang sama
  • Tindakan diambil berdasarkan siasatan dalaman yang telus dan mengikuti peraturan yang ditetapkan
  • JIM mengambil serius setiap dapatan dan syor dari Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan mengenai aktiviti pasport terbang
  • Langkah-langkah pematuhan dan pemantauan dalaman akan diperkukuh untuk memastikan integriti dan profesionalisme perkhidmatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!