Ketua editor, sub editor akhbar Bahasa Cina direkod keterangan - Polis

KUALA LUMPUR - Polis merakam percakapan ketua editor dan sub editor akhbar berbahasa Cina bagi membantu siasatan satu hantaran di Facebook yang didakwa memaparkan penterjemahan salah titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Parlimen.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, polis telah memanggil dua pegawai kanan akhbar terbabit kira-kira jam 1 petang, Rabu.
"Siasatan masih diteruskan dan masyarakat diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini sementara Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan di negara ini.
“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, JSJ Bukit Aman," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Katanya lagi, kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Sebelum itu, media tempatan melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang menjalankan siasatan berhubung isu terbabit yang didakwa mengandungi kesilapan terjemahan titah Sultan Ibrahim.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan komen melampau atau berbaur fitnah, khususnya di media sosial dan sentiasa menghormati institusi Raja selain memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
Ringkasan AI
- Polis rakam percakapan ketua editor dan sub editor akhbar Cina berkenaan terjemahan salah titah Yang di-Pertuan Agong di Facebook
- Siasatan kes dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, JSJ Bukit Aman
- Kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga menjalankan siasatan terhadap isu terbabit
- Masyarakat dinasihatkan tidak membuat spekulasi dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
