Lelaki miliki 12 rekod jenayah diberkas kes samun wanita Vietnam

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki tempatan yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau ditahan kerana disyaki menyamun seorang wanita warga Vietnam di Taman Sri Bahtera di sini pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, mangsa berusia 23 tahun sedang berada di sebuah tokong yang terletak di tepi padang permainan sebelum didatangi seorang lelaki yang melarikan barangan miliknya.
“Mangsa membuat laporan polis pada hari sama dan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan suspek di kawasan sekitar Taman Sri Bahtera pada jam 9.15 malam, hari yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, suspek yang ditahan merupakan lelaki tempatan berusia 24 tahun dan bekerja sebagai pembantu gerai burger.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati nilai kerugian yang dialami mangsa dianggarkan berjumlah RM8,000, membabitkan sebuah telefon bimbit iPhone 17 Pro Max, sepasang AirPods dan wang tunai RM150.
“Suspek kini direman selama empat hari, bermula Selasa hingga Jumaat, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki tempatan dengan 12 rekod jenayah lampau ditahan kerana menyamun wanita warga Vietnam di Taman Sri Bahtera
- Kejadian berlaku di sebuah tokong yang terletak di tepi padang permainan pada jam 1 tengah hari
- Suspek, seorang pembantu gerai burger berusia 24 tahun, ditahan pada jam 9.15 malam hari yang sama
- Nilai kerugian mangsa dianggarkan RM8,000 termasuk telefon bimbit iPhone 17 Pro Max, sepasang AirPods, dan wang tunai RM150
- Suspek direman selama empat hari bawah Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada samun dan samun bersenjata atau menyebabkan kecederaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
