Jangan khianati pejuang lawan Covid-19

Pasukan Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Bomba Perak melakukan proses penyahkuman atau disinfeksi. -Foto Bernama
Pasukan Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Bomba Perak melakukan proses penyahkuman atau disinfeksi. -Foto Bernama
A
A
A

PENGORBANAN yang dilakukan oleh petugas barisan hadapan yang kini sedang berjuang untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia daripada pandemik koronavirus (Covid-19) amat dihargai.

Risiko yang mereka hadapi cukup tinggi kerana bukan sahaja diri mereka boleh dijangkiti penyakit itu, malah ahli keluarga mereka juga boleh terdedah kepada bahaya.

Sejak pandemik itu berlaku pada Februari lalu, pasukan barisan hadapan kita telah melakukan sedaya upaya mereka untuk memastikan kita menang dalam peperangan yang cukup meletihkan dan melelahkan ini.Strategi untuk memenangi peperangan melawan Covid-19 sebenarnya cukup mudah, malah China yang menjadi punca bermulanya penularan pandemik itu sudah berjaya mengurangkan jumlah kes baharu dan kematian.

Dengan hanya mematuhi arahan duduk di rumah sahaja sudah cukup untuk membantu petugas barisan hadapan kita terus berjuang bermati-matian melawan penyakit itu.

Malangnya, arahan yang begitu mudah itu pun terlalu sukar untuk dilakukan segelintir individu kerana masih ramai yang tidak mendengar kata.

Apakah sudah sampai keranda di depan mata barulah ramai dalam kalangan kita hendak sedar Covid-19 bukan musuh yang sembarangan?

Jika dalam peperangan konvensional, musuh kita adalah jelas dan nyata tetapi Covid-19 ini musuh yang tidak nampak.

Langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tepat pada waktunya.

Artikel Berkaitan:

Bayangkan dalam tempoh dua bulan sahaja, kes-kes melibatkan Covid-19 di seluruh dunia kini sudah mencapai sebanyak 700,000 orang.

Dalam tempoh beberapa hari lagi, sejuta manusia akan dijangkiti penyakit itu.

Justeru, ketegasan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar dengan arahan disambut baik oleh rakyat.

Kepada petugas barisan hadapan, anda semua ialah wira rakyat Malaysia, jasa anda akan terpahat dalam sejarah negara buat selama-lamanya.

Bagi rakyat Malaysia, cara membalas segala jasa dan bakti petugas barisan hadapan hanyalah dengan mengikut arahan duduk diam di rumah.

Jika anda gagal mematuhi perintah yang ditetapkan, maka anda telah mengkhianati perjuangan negara untuk melawan Covid-19.