Flying passport: EAIC syor pegawai dikenakan tindakan tatatertib

EAIC mengesyorkan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang terlibat aktiviti pasport terbang di KLIA Terminal 1, Sepang. - Gambar hiasan
EAIC mengesyorkan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang terlibat aktiviti pasport terbang di KLIA Terminal 1, Sepang. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang terlibat aktiviti pasport terbang atau 'flying passport' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang.

EAIC dalam kenyataan berkata, siasatan telah dijalankan pihaknya berhubung aduan kes terbabit selaras subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pegawai yang terlibat telah memasukkan butiran maklumat seorang penumpang masuk ke dalam Malaysia serta maklumat pasport penumpang tersebut di dalam sistem MyIMMs tanpa kehadiran penumpang berkenaan di kaunter semasa urusan dijalankan.

"Tindakan pegawai tersebut tidak mematuhi garis panduan dalam Sistem Pengurusan Kualiti Jabatan Imigresen Malaysia, Prosedur Garis Panduan Jabatan Imigresen Malaysia PK(0)IM.H.03-02 yang telah ditetapkan Ketua Pengarah Imigresen dan merupakan suatu salah laku di bawah perenggan 24(1)(f) Akta 700," katanya pada Isnin.

Tambahnya, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Jelasnya, rujukan ini dengan syor agar tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai yang terbabit atas kesalahan tatatertib di bawah perenggan 4(2)(f) kerana berkelakuan tidak jujur atau tidak amanah dan perenggan 4(2)(g) iaitu tidak bertanggungjawab sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • EAIC mengesyorkan tindakan tatatertib terhadap pegawai terlibat dalam aktiviti pasport terbang di KLIA Terminal 1
  • Siasatan EAIC dilakukan berhubung aduan kes aduan pasport terbang selaras dengan Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009
  • Pegawai terlibat memasukkan butiran maklumat penumpang dan pasport dalam sistem MyIMMs tanpa kehadiran penumpang semasa urusan dijalankan
  • Tindakan tersebut melanggar garis panduan dalam Sistem Pengurusan Kualiti Jabatan Imigresen Malaysia
  • EAIC merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan tatatertib

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!