Agong berangkat rasmi Istiadat Pembukaan Parlimen

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim di Dataran Parlimen kira-kira jam 10 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ialah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Sejurus tiba di Dataran Parlimen Sultan Ibrahim kemudian diiringi ke Penterana Diraja dan menerima sembah "Hormat Diraja” oleh pasukan Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Lagu Negaraku kemudiannya dimainkan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja diikuti tembakan meriam 21 das daripada Pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja Istiadat.
Yang di-Pertuan Agong kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama dan seterusnya berangkat semula ke Penterana Diraja serta menerima sembah "Hormat Diraja” buat kali kedua, sebelum lagu Negaraku dimainkan sekali lagi.
Selesai istiadat berkenaan, Sultan Ibrahim diiringi ke Bilik Rehat Diraja di bangunan Parlimen sebelum ke sidang Dewan Rakyat untuk menyampaikan Titah Diraja bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15.
Istiadat berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi saluran media rasmi, televisyen tempatan dan platform dalam talian.
Berdasarkan takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari dengan tumpuan utama ialah perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh Ahli-Ahli Parlimen yang dijadual bermula esok hingga 29 Jan, diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 4 Februari.
Takwim itu turut menyenaraikan sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan yang lain akan berlangsung selama lapan hari bermula 11 Februari hingga 3 Mac.
Menurut takwim berkenaan, Parlimen tidak bersidang pada 2 dan 3 Februari berikutan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Thaipusam, serta pada 16 hingga 19 Februari susulan sambutan Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan pada minggu itu.
Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 23 Februari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
