Kolaborasi agung: 10 pemimpin parti Melayu-Islam terlibat

Ahmad Zahid ketika sidang media selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Sabtu.
Ahmad Zahid ketika sidang media selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilihan kepimpinan utama bagi kolaborasi agung akan melibatkan seramai 10 pemimpin tertinggi daripada parti-parti politik Melayu dan Islam.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepimpinan tersebut merangkumi presiden, timbalan presiden dan pimpinan kanan parti yang berhasrat untuk menjalin kerjasama dalam gabungan berkenaan.

"UMNO memulakan perbincangan dengan kelompok terlebih dahulu sebagai langkah awal sebelum sebarang bentuk kerjasama diperluaskan.

"UMNO memulakan usaha tersebut dengan (menjemput) kumpulan terdiri 10 pemimpin teratas iaitu presiden, timbalan presiden dan pimpinan tertinggi parti-parti berkaitan termasuk setiausaha agung serta kepimpinan kanan.

"Tiada sebarang perjanjian akan dimeterai pada peringkat awal kerana usaha ini bukan bertujuan mengasingkan atau meminggirkan kaum, agama dan budaya lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ahmad Zahid ketika menggulung ucapan dasar pada Sabtu memaklumkan hasrat parti untuk menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di bawah satu gabungan dikenali sebagai kolaborasi agung.

Ujar Ahmad Zahid, kolaborasi itu bersifat kerjasama longgar dan bukan satu bentuk gabungan politik.

Beliau menegaskan bahawa usaha tersebut tidak menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan, sebaliknya bertujuan memperkukuh agenda Melayu dan Islam melalui pendekatan muzakarah dan perbincangan bersama.

Artikel Berkaitan:

"Langkah UMNO kali ini merupakan pendekatan proaktif bagi menyahut suara akar umbi dan perwakilan, dan ia dibawa secara rasmi ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 sebagai satu usul oleh Presiden untuk diterima oleh para perwakilan," ujarnya.

Menurut Ahmad Zahid, beliau juga menolak sebarang cadangan bagi mengembalikan semula Muafakat Nasional (MN), berikutan nama itu telah didaftarkan di bawah badan bukan kerajaan (NGO).

"Jika terdapat cadangan untuk menghidupkan semangat MN atau menjenamakannya sebagai Muafakat Nasional 2.0, kita menolak penggunaan istilah tersebut kerana Muafakat Nasional telah didaftarkan sebagai sebuah NGO," ujarnya

 

 

Ringkasan AI

  • KUALA LUMPUR - Pemilihan kepimpinan utama bagi kolaborasi agung melibatkan 10 pemimpin tertinggi dari parti-parti politik Melayu dan Islam
  • Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan inisiatif tersebut sebagai langkah awal sebelum memperluas kerjasama
  • Kolaborasi agung ini bersifat kerjasama longgar dan bukan bentuk gabungan politik
  • Usaha ini bertujuan memperkukuh agenda Melayu dan Islam tanpa menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan
  • Ahmad Zahid menolak cadangan mengembalikan Muafakat Nasional kerana telah didaftarkan sebagai NGO

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!