Remaja lelaki maut nahas 6 kenderaan gara-gara lembu melintas

KULAI – Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan yang dipercayai berpunca daripada seekor lembu melintas di Kilometer 4, Jalan Kulai-Kota Tinggi awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1.05 pagi dan melibatkan empat motosikal jenis Yamaha 135LC, sebuah kereta Perodua Bezza serta sebuah lori Hino.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 26 tahun hilang kawalan selepas melanggar seekor lembu yang tiba-tiba melintas jalan.

“Akibat pelanggaran itu, kereta terbabit terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal yang ditunggang remaja lelaki berusia 19 tahun serta sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 44 tahun.
“Kemudian, tiga lagi motosikal yang ditunggang tiga remaja lelaki berusia antara 15 hingga 19 tahun yang datang dari arah sama gagal mengelak lalu melanggar bahagian tepi dan belakang lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Seng Lee berkata, seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
Ringkasan AI
- Remaja lelaki maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 4, Jalan Kulai-Kota Tinggi
- Kemalangan berpunca daripada seekor lembu melintas jalan
- Kereta dipandu wanita berusia 26 tahun hilang kawalan selepas melanggar lembu
- Seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian
- Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

