Pemandu elak ditahan polis, pecut 200km sejam

Seorang pemandu di Jerman memecut sehingga 200 kilometer sejam untuk mengelak daripada ditahan polis. Foto hiasan
Seorang pemandu di Jerman memecut sehingga 200 kilometer sejam untuk mengelak daripada ditahan polis. Foto hiasan
A
A
A

HANOVER - Seorang pemandu nekad memecut sehingga 200 kilometer sejam di lebuh raya dan beberapa jalan lain dalam cubaan mengelak daripada ditahan polis di Jerman pada Sabtu, sebelum lelaki itu akhirnya berjaya ditangkap, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Polis berkata, pegawai cuba menghentikan lelaki berusia 40 tahun itu berhampiran bandar Hildesheim di utara-tengah Jerman pada petang Sabtu untuk pemeriksaan berdekatan kawasan rehat lebuh raya, namun dia memecut dan melarikan diri.

Menurut polis, pemandu itu pada mulanya memecut di sepanjang lebuh raya A7 sebelum meneruskan perjalanan ke lebuh raya persekutuan B6, dengan adakalanya memandu pada kelajuan sehingga 200 kilometer sejam.

Dia berulang kali memotong kenderaan lain walaupun terdapat trafik dari arah bertentangan, memaksa pemandu lain mengelak bagi mengelakkan perlanggaran.

Kejadian itu berlanjutan ke kawasan luar bandar, apabila pemandu tersebut cuba melarikan diri melalui jalan sempit, mematikan lampu hadapan, dan akhirnya melarikan diri dengan berjalan kaki merentasi padang terbuka.

Dia ditangkap beberapa minit kemudian oleh seorang pegawai polis dan ditahan.

Polis berkata, penemuan awal menunjukkan lelaki itu tidak mempunyai lesen memandu dan disyaki menggunakan dadah. Dia sedang disiasat atas beberapa pertuduhan, termasuk mengambil bahagian dalam perlumbaan kenderaan bermotor secara haram. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang pemandu di Jerman memecut sehingga 200 kilometer sejam untuk mengelak daripada ditahan polis
  • Pemandu berusia 40 tahun itu beraksi nekad di lebuh raya A7 dan B6 sambil melanggar peraturan trafik
  • Dia mengambil tindakan bahaya dengan memotong kenderaan lain dan mematikan lampu hadapan pada waktu malam
  • Pemandu tersebut cuba melarikan diri dengan berjalan kaki selepas meninggalkan kenderaan
  • Penemuan awal menunjukkan pemandu tidak memiliki lesen memandu dan disyaki menggunakan dadah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!