Lebih 4,000 warga SIRIM rai Jubli Emas melalui ‘Golden Karnival’

SHAH ALAM - Lebih 4,000 warga dan ahli keluarga SIRIM Berhad membanjiri Ibu Pejabat SIRIM bagi menyertai Hari Keluarga SIRIM bertemakan SIRIM Golden Karnival sempena sambutan Jubli Emas ke-50 organisasi itu di sini pada Sabtu.
Karnival berkenaan berjaya menghimpunkan ‘keluarga besar’ SIRIM dari Semenanjung Malaysia dalam suasana penuh meriah dan muhibah, sekali gus menjadi tanda penghargaan kepada warga SIRIM serta sokongan padu ahli keluarga mereka yang menjadi tulang belakang kejayaan organisasi itu sepanjang lima dekad penubuhannya.

SIRIM dalam kenyataannya memaklumkan, sambutan Hari Keluarga itu turut dirancang untuk diadakan di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat bagi memberi peluang kepada lebih ramai warga organisasi berkenaan bersama keluarga masing-masing menyertai sambutan Jubli Emas tersebut.
Majlis berkenaan dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi SIRIM Berhad, Datuk Ir Dr Khairol Anuar Mohamad Tawi; Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Nik Sazali Nik Hussin; Ahli Lembaga Pengarah serta barisan pengurusan kanan.
Penyertaan kepimpinan tertinggi SIRIM dalam aktiviti karnival itu mencerminkan semangat kekeluargaan dan kebersamaan yang selari dengan tema sambutan, ‘Satu Pasukan, Satu Keluarga Besar SIRIM’.
Dalam ucapannya, beliau berkata, sejak ditubuhkan, SIRIM memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan industri negara, khususnya sebagai badan pensijilan kebangsaan yang dipercayai.

Menurutnya, kejayaan organisasi itu disokong oleh dedikasi ribuan warga SIRIM yang bekerja tanpa mengenal penat lelah bagi memastikan kualiti, keselamatan dan daya saing produk serta perkhidmatan di Malaysia.
“Setiap sijil yang dikeluarkan, setiap standard yang dibangunkan dan setiap inovasi yang dihasilkan SIRIM untuk masyarakat dan industri adalah hasil titik peluh, kepakaran serta integriti warga SIRIM,” ujarnya.
Hari Keluarga itu turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan sukan keluarga, permainan tradisional, jualan makanan serta persembahan hiburan yang bertujuan mengukuhkan ikatan kekeluargaan dalam kalangan warga SIRIM.
Ringkasan AI
- Lebih 4,000 warga dan ahli keluarga SIRIM Berhad membanjiri Ibu Pejabat SIRIM untuk menyertai Hari Keluarga SIRIM sempena Jubli Emas
- Karnival itu mengumpul keluarga besar SIRIM dari Semenanjung Malaysia dalam suasana meriah dan muhibbah
- Sambutan Hari Keluarga SIRIM juga dirancang di Sabah dan Sarawak bagi membolehkan lebih ramai warga menyertai
- Kehadiran kepimpinan tertinggi SIRIM mencerminkan semangat kekeluargaan yang selari dengan tema 'Satu Pasukan, Satu Keluarga Besar SIRIM'
- Pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan sukan, permainan tradisional, dan persembahan hiburan diadakan untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

