'Jangan pura-pura setuju di hadapan, tapi tak puas hati di belakang'

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO menggesa pucuk pimpinan parti agar memberi pertimbangan serius terhadap semua usul yang dibangkitkan dalam konvensyen khas sayap itu pada 3 Januari lalu.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia kerana setiap usul tersebut merupakan cerminan aspirasi sebenar akar umbi dan suara rakyat di peringkat bawah.
"Sudah tiba masanya kita kena bercakap perkara yang benar-benar berlaku di bawah.
"Perhimpunan Agung UMNO (PAU) hampir tamat, Pemuda UMNO sudah bersuara, baik di konvensyen mahupun dalam perhimpunan Pemuda UMNO yang baru saja habis.
"Kita minta agar semua usul dari konvensyen khas ini dipertimbangkan semula," katanya ketika menggulung ucapan penangguhan Ketua Pemuda UMNO sempena PAU 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu.
Sebelum ini, Pemuda UMNO pada 3 Januari lalu menganjurkan konvensyen khas di Dewan Tun Dr Ismail, WTC.
Konvensyen bertemakan 'Hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan' itu bertujuan menyuarakan pandangan dan isi hati secara terbuka serta berani dengan menilai semula kedudukan parti dalam kerajaan kini.
Ujar Dr Muhamad Akmal, semua ahli dan perwakilan UMNO perlu mengubah mentaliti mereka yang berpura-pura bersetuju di hadapan, namun hakikatnya meluahkan rasa tidak puas hati di belakang.
“Pemuda lantang bersuara bukan kerana marah tetapi sebab tahu itu lah hakikat sebenar kita di bawah.
"Lantang bersuara bukan keran benci, tetapi kerana terlalu sayangkan parti ini,” ujar beliau.
Ringkasan AI
- Pemuda UMNO menggesa kepimpinan parti mengambil serius usul konvensyen khas sayap pada 3 Januari
- Setiap usul mencerminkan aspirasi akar umbi dan suara rakyat
- Konvensyen khas bertujuan menilai semula kedudukan UMNO dalam kerajaan
- Ahli dan wakil UMNO digesa ubah mentaliti berkompromi tanpa ikhlas
- Pemuda UMNO bersuara lantang tidak kerana marah atau benci tetapi sayang pada parti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

