Tanpa dana sah, politik hanya menjadi milik orang kaya

Rosni membahaskan usul bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Jumaat.
Rosni membahaskan usul bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO mendesak agar rang undang-undang khusus bagi mengawal selia dana politik digubal segera demi memastikan proses politik berjalan secara telus dan berintegriti.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari berkata, isu dana politik sering menjadi polemik, namun jarang dibincangkan secara jujur dan berterus terang.

Beliau memberitahu, politik memerlukan dana kerana demokrasi mempunyai kosnya tersendiri, selain parti politik tidak boleh bergerak dengan retorik semata-mata.

"Inilah jalan tengah yang berprinsip dan berintegriti, bukan menolak dana, tetapi mengawal dana.

"Kerana tanpa dana yang sah dan terkawal, politik hanya menjadi milik orang kaya, tetapi dengan dana yang telus dan berintegriti, politik akan kembali kepada mereka yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika membahaskan usul bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Jumaat.

Justeru, Rosni berpandangan, dana politik itu perlu dipastikan diaudit dengan telus serta hukuman yang tegas dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menyalah guna dana politik.

Tegasnya, ketiadaan undang-undang yang jelas hanya membuka ruang kepada politik menjadi milik kelompok tertentu serta menjejaskan integriti sistem demokrasi.

Rosni turut membuat perbandingan dengan beberapa negara maju yang sudah pun mempunyai akta khusus bagi mengawal dana politik.

Artikel Berkaitan:

“Di United Kingdom, akta ini dipanggil Political Party Selection and Referendum Act 2000. Di Australia, Jerman, Perancis, Jepun, India, Poland malah Indonesia juga ada akta yang mengawal,” katanya.

Menurutnya lagi, negara-negara maju tidak mengharamkan dana politik, sebaliknya mengawalnya dengan ketat bagi mencegah pengaruh wang dan memastikan persaingan politik yang adil.

Justeru, Rosni berkata, langkah menggubal undang-undang dana politik harus dilihat sebagai usaha memperkukuh demokrasi, memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan parti politik dapat berfungsi secara bermaruah pada setiap pilihan raya.

Ringkasan AI

  • Wanita UMNO mendesak gubalan rang undang-undang khusus untuk mengawal selia dana politik
  • Datuk Rosni Zahari menekankan pentingnya dana di dalam politik untuk memastikan demokrasi yang berkos
  • Beliau berpendapat dana yang sah dan terkawal menjadikan politik lebih berkualiti dan bukan hanya untuk orang kaya
  • Rosni menyatakan keperluan audit dana politik yang telus dan hukuman bagi penyalahgunaan
  • Rosni membandingkan Malaysia dengan negara maju yang sudah memiliki akta untuk mengawal dana politik, sebagai langkah memperkukuh demokrasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!