Budak ditemui kelaparan, ketakutan: Ibu, teman lelaki didakwa

Dayang Norshida dan Masran dibawa polis ketika tiba di mahkamah
Dayang Norshida dan Masran dibawa polis ketika tiba di mahkamah
A
A
A

SEREMBAN - Ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang ditemui dalam keadaan kelaparan dan ketakutan baru-baru ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan mengabaikan anaknya itu.

Tertuduh, Dayang Norshida, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun telah mengabaikan kanak-kanak tersebut dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan berkenaan dilakukan di Pangsapuri Desa Palma, Nilai di sini antara September 2025 hingga Januari 2026.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama.

Dayang Dan Masran dibawa polis ketika tiba di mahkamah
Dayang Dan Masran dibawa polis ketika tiba di mahkamah

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh tiada dokumen pengenalan diri dan dikatakan sebagai orang Bajau.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan yang pegawai penyiasat akan membuat semakan berhubung status tersebut, namun berdasarkan sijil kelahiran mangsa, tertuduh merupakan warga Filipina.

"Mangsa kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala seorang lagi anak tertuduh berusia empat tahun dijaga oleh kakak iparnya," katanya.

Dayang Norshida yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon diberikan jaminan dan memberitahu akan dijamin oleh bakal ibu mentuanya.

Ujarnya, mangsa merupakan anak kandungnya dengan suami terdahulu.

Mahkamah menetapkan 23 Februari depan untuk tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sementara itu, teman lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama di lokasi sama pada jam 7 pagi, 6 Januari lalu.

Masran, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farha Sulaiman

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini menawarkan jaminan RM3,000.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Y.Y.Ng yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dan memberitahu, dia bekerja sebagai pekerja bar dengan gaji RM1,700 sebulan.

Dia turut mengaku tidak mengaku bersalah di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana menyimpan empat keping gambar lucah dan empat rakaman video lucah pada 7 Januari lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan Masran dijamin RM1,000 bagi kes mendatangkan kecederaan dan RM3,500 memiliki bahan lucah.

Kedua-dua kes akan disebut semula 16 Februari depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Sebelum ini media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui dalam keadaan ketakutan dan kelaparan di luar sebuah kedai serbaneka di Nilai dengan kesan kecederaan pada badan dipercayai akibat didera.

Kanak-kanak terbabit ditemui bersendirian kira-kira jam 5.30 petang oleh seorang penghantar makanan.

Pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan disyaki akibat penderaan.

 

Ringkasan AI

  • Ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun didakwa mengabaikan anaknya hingga menyebabkan kecederaan fizikal
  • Tertuduh, Dayang Norshida, berumur 30 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen
  • Kesalahan dilakukan di Pangsapuri Desa Palma, Nilai antara September 2025 hingga Januari 2026
  • Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya
  • Kanak-kanak tersebut kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!