DAP bukan masalah terbesar rakyat hari ini – DAP Melaka

MELAKA – DAP Melaka menghormati hasrat Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk terus menentang parti itu, namun menegaskan bahawa DAP bukan masalah terbesar yang dihadapi rakyat pada masa ini.
Setiausaha Publisiti DAP Melaka, Kerk Chee Yee berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu seharusnya menumpukan perhatian kepada isu-isu yang lebih relevan dan dapat memberi manfaat kepada rakyat serta ekonomi negara.
“Kami menghormati hasrat Dr Akmal yang mahu terus menentang DAP. Cuma kami berharap beliau juga mempunyai masa untuk menentang masalah yang lebih relevan seperti membanteras rasuah, menentang ekstremisme atau meningkatkan ekonomi dan daya saing negara bukan hanya DAP semata-mata.
“DAP bukan masalah terbesar bagi rakyat Malaysia hari ini, mungkin hanya bagi Dr Akmal. Namun kami faham, setiap orang ada hobi masing-masing. Selamat maju jaya kepada Dr Akmal,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada Khamis, Dr Akmal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, berkuat kuasa minggu hadapan.
Bagaimanapun, Dr Akmal berkata beliau tidak akan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO seperti yang diramal sebelum ini.
Keputusan itu diumumkan ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Dr Akmal berkata, peletakan jawatan tersebut dibuat bagi membolehkan beliau memberi tumpuan kepada perjuangan menentang DAP.
Ringkasan AI
- DAP Melaka menghormati hasrat Ketua Pemuda UMNO untuk terus menentang DAP tetapi menegaskan bukan masalah terbesar rakyat
- Setiausaha Publisiti DAP Melaka mencadangkan fokus kepada isu lebih relevan bagi manfaat rakyat dan ekonomi
- Menyarankan perhatian diberikan kepada membanteras rasuah, menentang ekstremisme dan meningkatkan ekonomi negara
- DAP dianggap bukan merupakan masalah utama bagi rakyat Malaysia, hanya kepada individu tertentu
- Dr Akmal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco demi fokus kepada perjuangan menentang DAP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


