Gas amonia bocor, jurutol dan pengawal keselamatan sesak nafas

Pasukan bomba membuat tindakan susulan di lokasi berlaku kebocoran gas amonia. Foto bomba
Pasukan bomba membuat tindakan susulan di lokasi berlaku kebocoran gas amonia. Foto bomba
A
A
A

SEREMBAN - Tiga individu termasuk jurutol dan pengawal keselamatan terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas apabila berlaku kebocoran gas amonia di sebuah lori di susur keluar ke Plaza Tol Seremban menghala ke Kuala Lumpur pada Khamis.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.40 petang sebelum tiba di lokasi 10 minit kemudian.

"Insiden membabitkan sebuah lori jenis Isuzu yang membawa muatan 15 tong silinder gas amonia, yang mana satu daripada tong silinder tersebut didapati mengalami kebocoran.

“Tindakan segera telah diambil dengan melakukan kerja-kerja penstabilan, termasuk menutup tong yang bocor menggunakan 'absorbent towel' sementara menunggu kontraktor bagi tujuan pemindahan tong-tong gas tersebut,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan tiga mangsa mengalami sesak nafas iaitu seorang wanita yang bekerja sebagai jurutol, seorang lelaki yang merupakan pengawal keselamatan PLUS serta seorang lelaki yang merupakan pemandu lori.

Ujarnya, kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk tindakan lanjut.

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Tiga individu termasuk jurutol dan pengawal keselamatan dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas dari kebocoran gas amonia
  • Kebocoran berlaku di susur keluar ke Plaza Tol Seremban menghala ke Kuala Lumpur
  • Bomba menerima panggilan kecemasan dan tiba di lokasi dalam masa 10 minit
  • Lori membawa 15 tong silinder gas amonia dimana satu tong mengalami kebocoran
  • Mangsa termasuk seorang wanita jurutol, pengawal keselamatan PLUS, dan pemandu lori

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!