Sindiket penipuan panggilan telefon menyamar polis tumpas

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan satu sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai kanan polis dengan penahanan tiga individu termasuk dua wanita dalam serbuan di sekitar ibu negara dan Selangor, minggu lepas.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, mereka yang merupakan warga tempatan ditahan pada 11 dan 12 Januari, berusia antara 28 hingga 46 tahun.
Beliau berkata, tangkapan itu susulan laporan diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada 10 Januari daripada mangsa, iaitu seorang penuntut wanita berumur 18 tahun.
Beliau berkata, mangsa mendakwa dihubungi individu memperkenalkan diri polis berpangkat Asisten Komisioner dari Bukit Aman dan dimaklumkan terlibat kes pengubahan wang haram dan perlu menyerahkan barangan berharga untuk siasatan.
"Mangsa yang terperdaya mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM70,000,” katanya pada sidang media di IPD Wangsa Maju, di sini hari ini.
Mohamad Lazim berkata, polis merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah termasuk sebuah kereta Proton Iriz, beg tangan, telefon bimbit, barangan kemas, wang tunai RM560 serta dua ketulan emas seberat 172.77 gram.
"Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM132,360 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata seorang daripada suspek telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan manakala dua lagi dijadikan saksi pendakwaan.
Mohamad Lazim menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon mencurigakan dan tidak panik walaupun pemanggil mengaku sebagai pihak berkuasa.
"PDRM menegaskan sebarang urusan rasmi memerlukan kehadiran fizikal di balai polis atau IPD dan tidak akan diselesaikan melalui panggilan telefon semata-mata,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang awam tidak menyerahkan wang, barangan berharga atau maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali serta membuat semakan akaun dan nombor telefon melalui laman sesawang ccid.rmp.gov.my/semakmule/. - Bernama
Ringkasan AI
- Polis menumpaskan sindiket penipuan panggilan yang menyamar sebagai pegawai polis dengan menahan tiga individu warga tempatan
- Individu ditahan pada 11 dan 12 Januari berusia antara 28 hingga 46 tahun susulan laporan dari seorang mangsa berumur 18 tahun
- Mangsa mendakwa dihubungi oleh individu yang mengaku sebagai Asisten Komisioner polisi dan mengalami kerugian RM70,000
- Barangan rampasan termasuk sebuah kereta Proton Iriz, beg tangan, telefon bimbit, barangan kemas, wang tunai RM560 dan dua ketulan emas dengan nilai keseluruhan RM132,360
- Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan panggilan telefon mencurigakan dan sebarang urusan rasmi memerlukan kehadiran fizikal di balai polis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
