Polis kesan lelaki pukul pemandu kereta dengan kayu hingga cedera

Raub
Raub
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes memukul seorang pemandu kereta menggunakan kayu sehingga cedera di Jalan Utama Lingkaran Dalam, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang penjaga stor berusia 53 tahun dari Singapura, pada 12.24 tengah hari Rabu.

Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 malam apabila suspek berang kerana mangsa memandu hampir melanggar motosikalnya ketika keluar dari sebuah stesen minyak.

"Suspek kemudian turun daripada motosikal dan memukul tangan mangsa menggunakan sebatang kayu. Mangsa mengalami luka dan bengkak di tangan kanannya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Raub berkata, pihak polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Beliau turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk hadir ke balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.

Terdahulu, satu video berdurasi 1 minit 14 saat tular memaparkan seorang lelaki memukul pemandu kereta dengan kayu dalam keadaan marah. - Bernama

 

 

 

Ringkasan AI

  • Polis sedang mencari seorang lelaki yang memukul pemandu kereta dengan kayu di Johor Bahru
  • Kejadian berlaku di Jalan Utama Lingkaran Dalam pada malam Selasa
  • Mangsa, seorang penjaga stor berumur 53 tahun, menerima luka dan bengkak di tangan
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan
  • Orang ramai diminta untuk memberikan maklumat kepada polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!