Dua pegawai, lima anggota polis ditahan disyaki terlibat penyalahgunaan dadah

KUANTAN - Dua pegawai dan lima anggota polis ditahan kerana disyaki terlibat penyalahgunaan dadah di sebuah kedai di Mentakab pada Sabtu.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua anggota dan pegawai lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu ditahan dalam serbuan pada 2.15 pagi.
"Saya mengesahkan tangkapan itu dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang pegawai dan lima anggota positif dadah,” katanya ketika dihubungii pada Ahad.
Yahaya berkata, mereka kini direman hingga Sabtu bagi siasatan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama.
Menurutnya, polis tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku dan sekiranya didapati bersalah, penyelia mereka juga akan dikenakan tindakan.
Difahamkan, selain dua pegawai berpangkat Inspektor dan lima anggota berpangkat Koperal serta Lans Koperal itu, turut ditahan dua wanita Thailand dan seorang lelaki tempatan. - Bernama
Ringkasan AI
- Dua pegawai dan lima anggota polis ditahan kerana disyaki terlibat penyalahgunaan dadah di Mentakab
- Kesemua mereka lelaki berusia antara 20 hingga 40-an ditahan dalam serbuan pada 2.15 pagi
- Seorang pegawai dan lima anggota polis positif dadah berdasarkan ujian saringan awal air kencing
- Mereka direman hingga Sabtu untuk siasatan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama
- Dua wanita Thailand dan seorang lelaki tempatan turut ditahan dalam serbuan tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
