Bank Negara dijangka kekalkan OPR pada 2.75 peratus sepanjang 2026 - BMI

BNM dijangka mengekalkan kadar OPR pada paras 2.75 peratus bagi tempoh sepanjang 2026.
BNM dijangka mengekalkan kadar OPR pada paras 2.75 peratus bagi tempoh sepanjang 2026.
A
A
A

BANK Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus bagi tempoh sepanjang 2026, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, demikian menurut BMI yang juga unit Fitch Solutions.

Dalam nota penyelidikannya pada Khamis, BMI menyatakan jangkaan itu berdasarkan minit mesyuarat BNM pada November 2025 yang menunjukkan penilaian bank pusat berkenaan terhadap prospek pertumbuhan 2026 kekal tidak berubah berbanding mesyuarat September.

Pendirian itu, katanya, adalah mengambil kira sokongan daripada permintaan domestik yang berdaya tahan.

"Kami sependapat dengan BNM dan menjangkakan pertumbuhan yang perlahan pada unjuran 4.6 peratus bagi 2025 kepada 4.1 peratus pada 2026. Ini adalah di bawah paras unjuran BNM sebanyak 4.0 peratus hingga 4.5 peratus,” kata BMI.

Menurutnya, BNM pada masa mempunyai kebimbangam kecil mengenai inflasi ketika inflasi menyeluruh secara amnya di paras dijangkakan iaitu purata 1.4 peratus bagi tempoh Januari 2025 hingga November 2025.

"Mengambil kira pelaksanaan fasa kedua kenaikan gaji penjawat awam pada Januari 2026 dan pemberian tunai RM100 kali kedua kepada semua rakyat pada Februari, kami menyemak naik unjuran inflasi kepada purata 1.9 peratus pada 2026 daripada 1.7 peratus sebelum ini,” katanya.

BMI juga menyifatkan semakan semula unjuran itu adala dalam julat unjuran kerajaan Malaysia iaitu antara 1.3 peratus hingga 2.0 peratus dan secara keseluruhannya sejajar dengan purata 1.8 peratus bagi tempoh 2020 hingga 2024.

Cabang penyelidikan Fitch Solutions itu turut menyemak unjuran kadar pertukaran mata wang asing dan kini menjangkakan ringgit pada paras RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2026.

"Pasukan kami di AS telah menyemak turun unjuran kadar faedah dan kini menjangkakan kadar dana Persekutuan negara maju itu akan menyaksikan pengurangan tambahan sebanyak 50 mata asas kepada kadar asas 3.25 peratus berbanding unjuran terdahulu kami sebanyak 3.50 peratus.

"Oleh itu, memandangkan BNM dijangka mengekalkan pendiriannya, perbezaan pulangan itu akan lebih cenderung untuk berpihak kepada ringgit,” katanya. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • BNM dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman pada 2.75 peratus hingga 2026
  • Permintaan domestik yang berdaya tahan menyokong keputusan tersebut
  • Pertumbuhan ekonomi dijangka perlahan dari 4.6 peratus pada 2025 ke 4.1 peratus pada 2026
  • Unjuran inflasi dinaikkan kepada 1.9 peratus pada 2026 daripada 1.7 peratus disebabkan kenaikan gaji penjawat awam dan pemberian tunai
  • BMI menjangkakan ringgit mencapai RM4.00 berbanding dolar AS menjelang akhir 2026

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!