Tiga lelaki lepas, bebas kes edar 73.7kg dadah

Muhammad Amiruddin (dua dari kiri), Vijandran Nair (empat dari kanan), dan Muhammad Faiz (kanan) bergambar bersama barisan peguam mereka, sejurus Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa melepas dan membebaskan mereka.
Muhammad Amiruddin (dua dari kiri), Vijandran Nair (empat dari kanan), dan Muhammad Faiz (kanan) bergambar bersama barisan peguam mereka, sejurus Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa melepas dan membebaskan mereka.
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Selepas lima tahun diheret ke mahkamah, tiga lelaki menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine lebih 73.7 kilogram (kg).

Hakim, Dr Wendy Ooi Su Ghee memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap pekerja kampung, Muhammad Amiruddin Abd Hadi, 30; penghantar barang, V Vijandran Nair, 35, dan nelayan, Muhammad Faiz Ahmad, 36.

Semasa membaca keputusan, beliau berkata, terdapat kelemahan yang serius dalam kes pendakwaan berkenaan.

Berdasarkan alasan ringkas penghakiman, beliau berkata, terdapat percanggahan keterangan saksi-saksi pendakwaan, khususnya berkaitan pengecaman barang kes dan jumlah kotak dadah yang dirampas.

Katanya, mahkamah turut mengambil perhatian terhadap kegagalan pihak polis mengemukakan gambar semasa rampasan dilakukan.

Beliau berkata, meskipun pihak forensik meminta rakaman kamera litar bertutup (CCTV) asal, namun mereka hanya memperoleh video yang telah disunting.

“Selain itu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal memanggil saksi penting dalam kes berkenaan.

“Pegawai penyiasat juga gagal menyiasat keterangan-keterangan yang diberikan oleh tertuduh, sekali gus menjejaskan kredibiliti keseluruhan kes pendakwaan seterusnya memprejudiskan pembelaan tertuduh.

“Justeru itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan semua tertuduh, tanpa perlu membela diri terhadap pertuduhan berkenaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Mardiyah Mohd Ali.

Pembelaan bagi Muhammad Amiruddin pula diwakili peguam, Nik Saiful Adli Burhan, Muhamad Asri Abdul Hamid dan Md Yusuf Md Idris.

Vijandran Nair pula dihadiri peguam, Zulkifli Awang dan Mohd Ruzaini Zulkifli, sementara Muhammad Faiz oleh peguam, Datuk Geethan Ram Vincent.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 73,708.4 gram di tepi sebuah rumah di Taman Batu Caves, Gombak, Selangor, jam 3 petang pada 6 Ogos 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Ringkasan AI

  • Selepas lima tahun di mahkamah, tiga lelaki bebas dari tuduhan mengedar 73.7kg methamphetamine di Shah Alam
  • Hakim mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie
  • Kes pendakwaan memiliki kelemahan seperti percanggahan keterangan saksi dan kegagalan mengemukakan bukti penting
  • Pihak polis gagal mengemukakan gambar rampasan dan hanya memperoleh video CCTV yang disunting
  • Mahkamah juga mencatatkan kegagalan pendakwaan memanggil saksi penting dan pegawai penyiasat tidak menyiasat keterangan tertuduh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!