X

Kindly register in order to view this article
!

Lantikan Exco Perak selepas PKP: Ahmad Faizal

Ahmad Faizal Azumu
A
A

IPOH - Pelantikan Exco kerajaan Perak akan dilaksanakan selepas berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu diputuskan bagi memberi tumpuan utama ke arah memastikan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negara dikawal sepenuhnya.

Menurutnya, kelewatan melantik Exco-exco kerajaan negeri tidak melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri kerana tiada tempoh tertentu ditetapkan berhubung pelantikan tersebut.

"Ada pihak-pihak tertentu cuba menimbulkan tanggapan bahawa negeri ini masih tidak mempunyai kerajaan. Saya ingin jelaskan di sini, dengan pelantikan saya sebagai Menteri Besar Perak ke-13, kerajaan negeri dapat berfungsi sepenuhnya.

"Ini kerana, kerja-kerja pentadbiran negeri terus dijalankan oleh ketua jabatan masing-masing, melalui punca kuasa dari undang-undang berkaitan.

"Dengan kerjasama erat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri dan seluruh anggota pentadbiran, Menteri Besar dapat mengemudi operasi pentadbiran dengan lancar," katanya dalam satu Perutusan Khas diumumkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Beliau berkata, sepanjang PKP, operasi pentadbiran berkisar di bilik gerakan dan urusan seharian tertumpu kepada perihal perkhidmatan kepada rakyat yang memerlukan bantuan.

Pada 13 Mac lalu Ahmad Faizal mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-13 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada istiadat angkat sumpah jawatan dan menandatangani watikah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/73664/KHAS/Peralihan-Kerajaan/Ahmad-Faizal-angkat-sumpah-MB-Perak-ke-13]

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal turut mengumumkan peruntukan tambahan RM20,000 kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak dalam usaha membantu golongan yang terjejas sepanjang tempoh PKP.

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/75267/EDISI/Perak/Covid-19-59-ADUN-Perak-dapat-peruntukan-khas-RM20000]

Selain itu katanya, kerajaan negeri akan memperluaskan bantuan kotak makanan yang diumumkan sebelum ini kepada lebih 13,000 ketua isi rumah orang asli dengan tambahan peruntukan RM800,000.

"Prihatin dengan rayuan ramai golongan penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri telah meningkatkan bilangan penerima bantuan kewangan sekali bayar atau 'one off' sebanyak RM500 seorang kepada 12,413 penerima.

"Ini adalah lonjakan besar berbanding jumlah bantuan kepada 4,000 penerima yang saya umumkan sebelum ini. Untuk ini, kerajaan telah membelanjakan RM6.2 juta," katanya.

Pada 19 Mac lalu, kerajaan Perak mengumumkan beberapa inisiatif bagi membantu rakyat di negeri ini yang terkesan dengan PKP bagi membendung penularan Covid-19.

[https://www.sinarharian.com.my/article/74508/KHAS/Koronavirus/Perak-umum-inisiatif-bantu-rakyat-terjejas]


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!