[VIDEO] Saman fitnah Teresa–Dr Akmal diteruskan
MELAKA – Perbicaraan saman fitnah berhubung isu pensijilan halal yang difailkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh akan diteruskan pada Februari depan.
Ini selepas proses mediasi antara kedua-dua pihak di Pusat Mediasi Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini pada Isnin gagal mencapai kata sepakat.

Peguam Teresa, Datuk Sankara Nair berkata, kes berkenaan akan diteruskan dengan perbicaraan pada 12 dan 13 Februari depan di Mahkamah Tinggi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Isa Aziz Ibrahim.
“Kita telah berbincang dengan pihak peguam dan Dr Akmal, namun nampaknya tidak mencapai sebarang persetujuan dalam mediasi ini.
“Oleh itu, kes ini akan diteruskan ke peringkat perbicaraan pada Februari nanti. Kita tidak boleh kata gembira atau sebaliknya kerana ini hanyalah proses mediasi,” katanya pada Isnin.
Terdahulu, proses mediasi yang berlangsung hampir sejam itu melibatkan Teresa dan Dr Akmal yang masing-masing diwakili peguam Sankara Nair serta Syahrul Sazwan Salehin dan Iqbal Harith Liang.
Pada Oktober 2024, Teresa memfailkan saman fitnah menerusi Tetuan SN Nair & Partners berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah oleh Dr Akmal dalam sebuah video yang dimuat naik di aplikasi TikTok pada 7 September tahun sama.
Teresa, yang ketika itu menyandang jawatan Naib Presiden DAP, memfailkan saman melibatkan surat tuntutan (LOD) dan ganti rugi berjumlah RM25 juta.
Isu tercetus apabila Teresa menyatakan bahawa pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran dan tidak dilaksanakan secara paksaan.
Susulan itu, Dr Akmal menerusi satu hantaran video di TikTok melabelkan Teresa sebagai ‘nyonya tua’ serta menyatakan bahawa beliau tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.
Beliau juga dilaporkan meminta kerajaan menyediakan logo tidak halal untuk ditampal di dahi pemimpin DAP tersebut.
Sementara itu, Dr Akmal yang ditemani peguamnya menyatakan kesediaan untuk menghadapi perbicaraan berhubung kes berkenaan.
“Insya-ALLAH, kita tunggu perbicaraan pada Februari. Kita lawan Februari nanti,” katanya.
Ringkasan AI
- Perbicaraan saman fitnah Teresa Kok terhadap Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung isu pensijilan halal akan diteruskan pada Februari
- Proses mediasi antara kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat
- Perbicaraan akan diadakan pada 12 dan 13 Februari depan di Mahkamah Tinggi
- Teresa Kok memfailkan saman fitnah menerusi surat tuntutan dan ganti rugi berjumlah RM25 juta
- Isu timbul dari kenyataan Teresa tentang pensijilan halal dan reaksi Dr Akmal yang memuat naik video di TikTok
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

