X

Kindly register in order to view this article
!

9 banduan ditangkap semula, seorang masih bebas di Thailand

Pihak keselamatan mengawal banduan yang berjaya ditangkap semula selepas rusuhan di Penjara Buri Ram, Thailand. - Foto Sumber Internet
A
A

BANGKOK - Polis Thailand menangkap semula sembilan banduan yang meloloskan diri dalam kejadian rusuhan di penjara Buri Ram di Thailand semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, kira-kira 100 banduan merusuh dan bertindak membakar sebahagian bangunan penjara yang menempatkan hampir 2,200 tahanan termasuk 200 banduan wanita.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Naras Savestanan berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, tetapi enam mangsa cedera ringan dan kini dirawat di hospital berhampiran.

"Sembilan banduan ditangkap semula dan seorang masih bebas. Beberapa harta benda penjara rosak," katanya kepada media malam tadi.

Naras berkata, pihak berkuasa akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian itu.

Media tempatan melaporkan rusuhan itu dicetuskan sekumpulan kecil banduan yang dijatuhi hukuman mati, dengan menyebarkan khabar angin mengenai wabak Covid-19 di penjara berkenaan.

Pada Jumaat, Jabatan Penjara mengesahkan dua banduan dijangkiti Covid-19 dan langkah sewajarnya telah diambil bagi mengekang penyebaran virus itu.

Thailand mempunyai 380,000 banduan dan 13,000 pegawai penjara.

Sebagai langkah pencegahan, Jabatan Penjara melarang pelawat dan langkah kuarantin dikenakan selama 14 hari mulai 18 Mac.

Thailand melaporkan 1,388 kes Covid-19 dengan lapan kematian. Kerajaan mengisytiharkan darurat dari 26 Mac hingga 30 April. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus