Pemain, jurulatih Juventus setuju dipotong empat bulan gaji

Maurizio Sarri - Foto Sumber Internet
Maurizio Sarri - Foto Sumber Internet
A
A
A

PENGENDALI Juventus, Maurizio Sarri dan semua pemain utama kelab itu bersetuju gaji mereka dipotong untuk tempoh empat bulan bagi membantu kelab The Old lady itu menangani impak kewangan akibat wabak koronavirus (Covid-19).

Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, persetujuan itu telah dicapai antara kesemua pemain melibatkan potongan gaji untuk bulan Mac, April, Mei dan Jun.

"Potongan gaji itu akan menyaksikan kelab dapat menjimatkan wang sebanyak €90 juta (RM434 juta).

"Juventus ingin berterima kasih kepada semua pemain dan jurulatih atas komitmen mereka dalam keadaan yang mencabar ini," katanya.

Kelab gergasi Itali itu yang kini merada di puncak liga Serie A turut merasai kesan akibat wabak Covid-19 selepas liga dihentikan sekurang-kurangnya sehingga 3 April ini.

Badan induk bola sepak negara itu juga akan memutuskan sama ada menyambung saingan liga tersebut atau membatalkannya dalam masa terdekat.

Itali menjadi negara paling terjejas ekoran wabak Covid-19 dengan 97,689 kes positif selain 10,779 kematian direkodkan setakat ini.

Artikel Berkaitan: