X

Kindly register in order to view this article
!

Tokoh akademik Rashdan Baba meninggal dunia

Allahyarham Mohd Rashdan Baba
A
A

KUALA LUMPUR - Tokoh akademik negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Rashdan Baba meninggal dunia jam 6.59 pagi ini pada usia 85 tahun.

Berita kematian Allahyarham disampaikan oleh anak saudaranya yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid menerusi laman Facebook rasminya.

“Saya baru menerima berita sedih subuh tadi, pulangnya ke rahmatullah bapa saudara saya Allahyarham Tan Sri Rashdan Baba. Seorang anak Rembau yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Seorang pejuang Melayu Aa Ba Ta yang bijak, cekal dan kuat bekerja.

“Terima kasih Pak Ngah kerana mendidik dan mengingatkan Tura mengenai kecekalan dan pengorbanan dalam sebuah perjuangan. Akan Tura abadikan hingga ke akhir hayat. Tura sayang Pak Ngah,” katanya.

Sementara itu, pembantu peribadi kepada Allahyarham yang enggan dikenali ketika dihubungi Bernama berkata, Allahyarham meninggal di Hospital Ampang Puteri akibat komplikasi beberapa penyakit.

Menurutnya lagi, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Taman Tun Dr Ismail (TTDI) sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Damansara hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang anak perempuan iaitu Datin Dr Rayslida manakala isterinya, Puan Sri Robiyah Abdul Majid telah pun meninggal dunia beberapa tahun yang lepas.

Ketokohan Allahyarham dalam bidang pendidikan terserlah apabila dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1 Sept, 1969 hingga 31 Mac, 1971 sebelum menjawat jawatan sama di Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) dari tahun 1971 hingga 1982.

Tokoh Akademik Negara 2013 itu dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus daripada UPM pada 14 Ogos 1982 dan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang UKM pada 3 Julai, 1999 di samping menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Sains dari University of Reading dan Kedoktoran Undang-undang dari University of Leeds.

Dalam bidang korporat, Allahyarham pernah dilantik sebagai Pengerusi Telekom Malaysia Bhd dari 1 November 1985 hingga 30 November 1997.

Sementara itu, menerusi laman Facebook rasmi Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) UKM, mantan Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali turut melahirkan rasa dukacita ke atas kehilangan Allahyarham yang disifatkannya sebagai seorang insan yang sangat berjasa kepada negara dan UKM.

Tidak ketinggalan, warga Kesatuan Kakitangan Am UPM (Kepertama UPM) menerusi laman Facebook turut menzahirkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!