'Indonesia kaya tapi rakyat masih ramai miskin'-Prabowo

Prabowo Subianto Foto Agensi
Prabowo Subianto Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, meluahkan keprihatinan mendalam terhadap realiti negaranya yang kaya dengan sumber daya alam, namun masih dibelenggu masalah kemiskinan dalam kalangan rakyat.

Beliau menyuarakan kebimbangan itu ketika berucap pada Majlis Penuaian Raya dan Pengumuman Swasembada Pangan di Desa Kertamukti, Karawang, Jawa Barat pada Rabu.

Menurut Prabowo, kefahamannya terhadap kekayaan sebenar negara semakin mendalam selepas beliau secara rasmi mengambil alih tampuk pemerintahan.

Namun, kesedaran tersebut turut disertai rasa kecewa apabila mendapati sebahagian besar kekayaan nasional gagal diurus dengan berkesan.

“Bangsa kita ialah negara yang kaya. Selepas saya dipilih dan dilantik sebagai Presiden serta mengambil alih pemerintahan, saya semakin memahami betapa besarnya kekayaan yang kita miliki.

"Tetapi saya harus menyatakan, saya berasa prihatin dan sedih melihat hakikat bahawa banyak kekayaan ini tidak diurus dengan baik,” katanya.

Prabowo menegaskan, kelemahan dalam tatakelola negara telah menyebabkan kebocoran kekayaan nasional berlaku secara berterusan sejak sekian lama.

“Banyak kekayaan negara yang bocor. Sejak dahulu saya sedar perkara ini berlaku, tetapi saya tidak menyangka kebocorannya begitu besar,” jelas beliau.

Tambah Prabowo, keprihatinan tersebut menjadi pendorong utama kepada perjuangannya untuk melakukan perubahan sejak sebelum memegang jawatan Presiden, termasuk ketika menerajui organisasi petani dan parti politik.

Artikel Berkaitan:

“Dari tahun ke tahun sebelum saya menjadi Presiden, saya berjuang sebagai Pengerusi Umum Himpunan Kerukunan Tani Indonesia (HKTI) dan sebagai ketua parti. Ini kerana saya melihat banyak kejanggalan dalam negara kita,” katanya.

Beliau menyifatkan keadaan sebuah negara yang kaya tetapi masih mempunyai ramai rakyat miskin sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima oleh akal fikiran dan hati nurani.

“Sudah berpuluh tahun negara ini kaya, namun rakyatnya masih ramai yang hidup dalam kemiskinan. Saya tidak dapat menerima hakikat ini, sama ada dari sudut logik mahupun perasaan,” tegas Prabowo.

Presiden itu turut mengingatkan bahawa perjuangan kemerdekaan yang mengambil masa ratusan tahun seharusnya membawa kepada pembahagian kekayaan yang adil dan kesejahteraan menyeluruh untuk seluruh rakyat Indonesia.

“Bagaimana sebuah negara yang berjuang ratusan tahun untuk merdeka, tetapi kekayaannya hanya dinikmati oleh sebahagian kecil rakyat,” katanya.- Agensi

Ringkasan AI

  • Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, meluahkan keprihatinan terhadap masalah kemiskinan walaupun negaranya kaya sumber alam
  • Beliau menyuarakan kebimbangan ini ketika berucap pada Majlis Penuaian Raya dan Pengumuman Swasembada Pangan
  • Prabowo merasa kecewa kerana sebahagian besar kekayaan nasional tidak diurus dengan baik
  • Ketidakberkesanan tatakelola menyebabkan berlakunya kebocoran kekayaan negara
  • Keprihatinan atas ketidakadilan pembahagian kekayaan menjadi pendorong utama perjuangannya sebelum dan selepas menjadi Presiden

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!