Ops Kesan 5.0: 34 premis di Selangor terima notis

Barangan yang diperiksa merangkumi kategori barangan persekolahan, barangan di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta barangan keperluan pengguna.
Barangan yang diperiksa merangkumi kategori barangan persekolahan, barangan di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta barangan keperluan pengguna.
A
A
A

SHAH ALAM – Sebanyak 34 premis dikenakan notis oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan harga dan kos barangan dalam Ops Kesan 5.0 yang digerakkan sejak 1 Januari lalu.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, notis berkenaan dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

“Tindakan itu bagi membolehkan pihak kami memperoleh maklumat terperinci berkaitan harga serta kos barangan terlibat.

“Ops Kesan 5.0 dilaksanakan sejajar dengan pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 yang berkuat kuasa bermula 1 Januari 2026,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, operasi berkenaan bertujuan memantau dan memastikan pematuhan peniaga serta industri terhadap perundangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Ia termasuk Mekkanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah 2018.

“Pemeriksaan ini juga berfungsi sebagai isyarat penting kepada peniaga supaya tidak sesekali mengambil kesempatan membuat pergerakan harga tanpa asas atau terlibat dalam aktiviti pencatutan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan Ops Kesan 5.0 di peringkat peruncit yang dijalankan memfokuskan kepada barangan jualan Back To School di sekitar premis yang beroperasi di Shah Alam.

“Fokus pemeriksaan itu adalah bagi memeriksa kedudukan harga jualan barangan kelengkapan persekolahan sempena menjelang sesi persekolahan yang akan bermula pada 12 Januari 2026.

Artikel Berkaitan:

“Sepanjang tempoh pemeriksaan dari 1 hingga 9 Januari 2026, pasukan penguat kuasa KPDN Selangor telah memeriksa 34 premis melibatkan 156 jenis barangan,” katanya.

Tambahnya, barangan yang diperiksa merangkumi kategori barangan persekolahan, barangan di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta barangan keperluan pengguna.

“KPDN Selangor kekal komited melaksanakan Ops Kesan 5.0 sebagai langkah intervensi atau fear factor kepada peniaga supaya sentiasa berwaspada dan beretika serta tidak mengambil kesempatan susulan pelarasan gaji penjawat awam.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya kenaikan harga tidak munasabah dilakukan dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan,” katanya.

Mohd Zuhairi berkata, individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 jika disabitkan kesalahan.

“KPDN Selangor juga terbuka untuk memberikan nasihat berkaitan prinsip asas serta mekanisme penentuan pencatutan bagi memastikan peniaga sentiasa peka dengan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan.

“Ops Kesan 5.0 merupakan sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR dalam menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan,” katanya.

Jelasnya, pengguna di Selangor yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti manipulasi harga disaran menyalurkan aduan lengkap dan tepat melalui saluran aduan rasmi KPDN.

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Selangor mengeluarkan notis kepada 34 premis sejak 1 Januari dalam Ops Kesan 5.0
  • Notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011
  • Ops Kesan 5.0 bertujuan memantau pematuhan peniaga terhadap perundangan kawalan harga dan antipencatutan
  • Ops ini juga memfokus kepada barangan jualan Back To School menjelang sesi persekolahan yang bermula 12 Januari 2026
  • Pemeriksaan mencakupi 156 jenis barangan termasuk barangan persekolahan dan keperluan pengguna, tindakan tegas akan diambil terhadap kenaikan harga tidak munasabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!