Jawatan Pengerusi PN tidak semestinya saya - Abdul Hadi

KUALA LUMPUR - Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak semestinya khas untuk presiden sesebuah parti, kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Malah Abdul Hadi turut menyatakan akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang menjadi pengerusi susulan jawatan tersebut kosong selepas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada 29 Disember.
“Bukan semestinya saya, saya sedia membantu walaupun siapa dia yang jadi pengerusi... saya (akan) bantu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di Marang, Terengganu pada Jumaat.
Pada masa sama Abdul Hadi turut mengesahkan Pas masih belum menghantar nama untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut, sebaliknya ia dijangka akan diputuskan semasa mesyuarat Pas pusat pada minggu hadapan.
Tambahnya, PN juga belum mengadakan sebarang mesyuarat susulan kekosongan jawatan Setiausaha Agung yang sebelum ini disandang oleh Datuk Mohamed Azmin Ali.
“Saya serah kepada pusat untuk pilih siapa yang akan pegang (jawatan) pengerusi… PN pun tak buat lagi, Setiausaha tak ada tapi dia boleh (mesyuarat) dengan jumlah ahli-ahli jawatankuasa yang cukup,” katanya lagi. - Awani
Ringkasan AI
- Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional tidak khas untuk presiden parti kata Presiden Pas
- Abdul Hadi Awang menyatakan sokongan kepada sesiapa sahaja yang menjadi pengerusi
- Pas belum menghantar nama untuk mengisi kekosongan jawatan pengerusi
- Keputusan mengenai jawatan akan diputuskan dalam mesyuarat Pas pusat minggu hadapan
- PN belum mengadakan mesyuarat susulan kekosongan jawatan Setiausaha Agung
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
