PRK Kinabatangan: 'Jangan 'overconfident', Warisan hantar calon bukan sembarangan' - Ahmad Maslan

KINABATANGAN - Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya terus memperkemas gerak kerja dan tidak mengambil mudah saingan yang dihadapi, meskipun parti itu menampilkan calon berpengalaman serta mendapat sokongan rakan komponen, susulan penyertaan Parti Warisan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Ketua Sekretariat War Room BN, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kehadiran Warisan yang menampilkan calon berprofil tinggi menuntut jentera BN bekerja lebih tersusun dan berdisiplin bagi memastikan kemenangan dapat dipertahankan.
"Saya ingin mengingatkan jentera supaya jangan terlalu yakin kerana Warisan menghantar calon yang bukan sembarangan.
"Kita tidak boleh ambil mudah saingan ini walaupun calon BN juga tidak kurang hebatnya.
"Saudara Naim Kurniawan Mokhtar sebagai calon Parlimen Kinabatangan merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian yang amat memahami kawasan ini, manakala calon DUN Lamag, Miha (Muhammad Ismail Haj Ayub), juga menunjukkan dedikasi yang tinggi," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian semasa melakukan lawatan kerja bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa1b di Pejabat Tapak Pan Borneo Work Package 25 (Wp25), Kampung Perpaduan Datuk Mohd Ugi di sini pada Jumaat.
Ahmad dalam pada itu turut menegaskan bahawa BN tidak sesekali menjadikan pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai modal untuk meraih undi simpati.
Beliau sebaliknya menyeru pengundi agar meneruskan sokongan kepada BN yang sebelum ini telah memenangi kerusi berkenaan.
"Saya ingin jelaskan, kita bukan mahu meraih undi simpati atas kematian. Tidak ada gunanya menukar kepada parti lain kerana yang menang sebelum ini adalah BN di Kinabatangan dan Lamag.
"Walaupun kita tidak meraih simpati, kita tetap bersimpati dan berharap rakyat memberi peluang kepada dua calon BN untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat," katanya.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut berkata, beliau sebelum itu telah menghadiri mesyuarat jentera BN yang dipengerusikan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Jafry Ariffin, yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK berkenaan.
Menurut beliau, pelantikan Jafry dibuat oleh Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN dalam satu mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC), pada Isnin lalu.
"Mesyuarat malam tadi membincangkan pelbagai perkara penting termasuk penyelarasan gerak kerja jentera di peringkat PDM. Contohnya, jika berlaku kekosongan seperti Ketua PDM menunaikan umrah, kita tidak boleh tunggu dan perlu segera membuat penggantian.
"Penamaan calon sudah hampir, jadi setiap isu berkaitan perjalanan, logistik dan pembahagian kawasan seperti di Kuamut, Sukau dan Lamag mesti diselesaikan segera," katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti-parti lain yang tidak meletakkan calon bagi memastikan pertandingan tidak berpecah undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
