Kenyataan Wan Rosdy perlu difahami dalam konteks pentadbiran – UMNO Pahang

KUANTAN – Kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung kehadiran wakil DAP dalam pentadbiran Pahang yang dikatakan membantu memudahkan urusan kerajaan negeri perlu difahami dalam konteks pengalaman pentadbiran dan keperluan memastikan kelancaran urusan pentadbiran negeri.
Ketua Penerangan UMNO Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, kenyataan itu bukan satu penilaian terhadap nilai atau sumbangan mana-mana parti politik seperti yang ditanggapi segelintir pihak.
Menurutnya, sebagai Menteri Besar, Wan Rosdy yang juga Pengerusi UMNO Pahang memikul tanggungjawab besar memastikan setiap dasar dan keputusan kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan rakyat.
"Dalam proses tersebut, pengalaman bekerjasama dengan pelbagai pihak sudah tentu berbeza mengikut situasi, masa dan isu yang dihadapi," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Shahaniza berkata, UMNO Pahang berdiri teguh menyokong kepimpinan Menteri Besar dalam menerajui kerajaan negeri, khususnya dalam usaha mengekalkan kestabilan politik, keharmonian antara kaum dan keberkesanan pentadbiran.
Tambahnya, UMNO Pahang juga pada masa sama menghormati peranan semua rakan politik yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri.
"Perbezaan pandangan dan pengalaman tidak seharusnya ditafsir sebagai menafikan jasa atau kedudukan mana-mana pihak," ujarnya.
Wan Rosdy sebelum ini dilaporkan berkata, kehadiran Exco daripada DAP dalam barisan kepemimpinan tertinggi kerajaan negeri itu lebih memudahkan urusan pentadbiran berbanding ketika bersama rakan parti komponen MCA sebelum ini.
Kenyataan beliau semasa berucap merasmikan Penutupan Bengkel Anjakan Paradigma Pendidikan Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang (SMAN) di Putrajaya pada Khamis dipercayai bagi menjawab tohmahan pembangkang yang mendakwa kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Pahang bersifat sekular serta tidak menjaga kebajikan orang Melayu dan umat Islam.
Bagaimanapun, kenyataan itu telah dipersoalkan oleh MCA Pahang, di mana pengerusinya, Datuk Chong Sin Woon menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu perbandingan yang sengaja memberi tanggapan negatif terhadap kredibiliti parti itu, sambil menuntut Wan Rosdy memperincikan aspek yang dimaksudkan.
Ringkasan AI
- Kenyataan Menteri Besar Pahang perihal kehadiran wakil DAP dalam pentadbiran Pahang dimaksudkan untuk memastikan kelancaran urusan negeri
- Kenyataan itu dinilai tidak menilai nilai atau sumbangan parti politik tertentu
- Wan Rosdy memikul tanggungjawab memastikan dasar dan keputusan kerajaan negeri berkesan demi rakyat
- UMNO Pahang menyokong kepimpinan Menteri Besar dalam usaha mengekalkan stabiliti politik dan keharmonian kaum
- Perbezaan pandangan dan pengalaman dalam kerjasama antara parti politik tidak mengurangkan jasa atau kedudukan sesebuah parti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

