Padah buat pusingan U, lima motosikal kemalangan

JOHOR BAHRU - Tindakan seorang penunggang cuba membuat pusingan U untuk mengambil barang tercicir mengakibatkan kemalangan membabitkan lima motosikal di Tambak Johor pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan jam 9.20 pagi itu berlaku di laluan menghala ke Singapura dan video kejadiannya turut tular dalam media sosial.
Menurut beliau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan terkesan dengan penularan video tersebut jam 10.15 pagi.
"Nahas tersebut melibatkan lima penunggang motosikal iaitu lelaki tempatan dan mereka semuanya dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura.
"Ketika kejadian cuaca baik dan lalu lintas sibuk. Semasa kemalangan berlaku, salah seorang penunggang dipercayai sedang berhenti dan membuat pusingan U untuk mengambil barang peribadi yang terjatuh," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kemudian datang empat motosikal lain yang tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal tersebut.
Menurunya, semua mangsa yang terlibat terjatuh atas tengah jalan dan mengalami kecederaan ringan serta dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk menerima rawatan.
Katanya, kes diklasifisasikan bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Raub meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
Tambahnya, mereka juga boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Shahrol Ixuan Salleh 013-7561919 bagi membantu siasatan.
Ringkasan AI
- Tindakan penunggang buat pusingan U gara-gara tercicir barang dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan lima motosikal di Tambak Johor
- Kemalangan berlaku jam 9.20 pagi menghala ke Singapura, video kejadian tular di media sosial
- Penunggang terlibat semuanya lelaki tempatan dalam perjalanan kerja ke Singapura, cuaca baik dan lalu lintas sibuk
- Empat motosikal lain tidak sempat mengelak dan melanggar, semua mangsa terjatuh dan cedera ringan
- Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan, saksi kemalangan diminta bantu siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

