Menantu Hadi Awang saman kerajaan kes sertai perhimpunan Kampung Sungai Baru

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Pas Kawasan Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad memfailkan saman pemula terhadap kerajaan kerana mendakwanya atas tuduhan menyertai perhimpunan pengosongan Kampung Sungai Baru, September tahun lalu.
Zaharudin, 50, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Daim & Gamany di Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Disember 2025 lalu dengan menamakan kerajaan selaku defendan tunggal.
Berdasarkan dokumen, menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu memohon deklarasi bahawa pertuduhan yang dibuat terhadapnya, mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan adalah bercanggah dengan Fasal 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Fasal itu memberi hak kebebasan kepada semua warganegara untuk berhimpun namun ia tertakluk kepada sekatan yang munasabah oleh undang-undang.
“Plaintif juga memohon deklarasi bahawa seksyen ini bercanggah dengan Fasal 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan kerana bersifat bertentangan dengan hak perbicaraan yang adil selain tidak seimbang dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Susulan percanggahan itu, seksyen berkenaan tidak sah dan tidak berperlembagaan,” katanya.
Plaintif memfailkan saman berkenaan, untuk melindungi dirinya daripada sebarang risiko kesan buruk yang ditimbulkan daripada tindakan atau keputusan defendan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes saman itu pada 19 Januari.
Sementara itu, semasa sidang akhbar, peguam, Latheefa Koya yang mewakili Zaharudin berkata, seksyen terbabit sudah lapuk dan ketinggalan zaman.
"Kami terkejut apabila kerajaan menggunakan seksyen yang jarang digunakan ini terhadap aktivis-aktivis yang menyuarakan isu rakyat di Kampung Sungai Baru.
“Sedangkan rakyat diberi hak untuk berhimpun secara aman,” katanya ketika di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin.
Sementara itu, Zaharudin berkata, kehadirannya ke lokasi berkenaan tidak lebih kepada mahu membantu rakyat yang mahu mengosongkan rumah.
Menurutnya, penduduk terpaksa mengeluarkan perabot dan barangan elektronik semasa hujan lebat.
“Saya bukan mahu berhimpun secara terancang tetapi ‘terhimpun’ sebab ketika sampai di sana, ada sekatan dan kehadiran orang ramai.
“Mereka berkumpul disebabkan satu mesej menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ yang telah tular kerana menawarkan bayaran kepada orang ramai untuk hadir ke majlis pembangunan di Kampung Sungai Baru.
“Siapa yang mendapat keuntungan daripada provokasi ini? Jelas sekali penduduk yang rugi,” katanya.

Susulan itu beliau berkata, laporan polis berhubung penyebaran mesej berkenaan dibuat namun sehingga kini tiada maklum balas diterima daripada pihak berkuasa.
Pada Isnin, ahli politik itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan menyertai perhimpunan pengosongan kampung berkenaan, September tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu didakwa bersama tujuh individu termasuk dua remaja bawah umur menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
Zaharudin yang juga aktivis dituduh menentang proses notis pengosongan di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru, sedangkan mengetahui perhimpunan tersebut diarahkan untuk bersurai mengikut undang-undang.
Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru di sini antara jam 10.50 dan 11.14 pagi pada 11 September 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ringkasan AI
- Zaharudin Muhammad memfailkan saman terhadap kerajaan atas tuduhan menyertai perhimpunan di Kampung Sungai Baru
- Saman tersebut difailkan dengan menamakan kerajaan sebagai defendan tunggal
- Memohon deklarasi bahawa Seksyen 145 Kanun Keseksaan bercanggah dengan hak kebebasan berhimpun di bawah Perlembagaan Persekutuan
- Seksyen tersebut dituduh lapuk dan tidak adil oleh peguam yang mewakili Zaharudin
- Zaharudin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyertai perhimpunan yang melanggar undang-undang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

