Kurang pengalaman jadi kelebihan CG Esports pada M7 di Jakarta

KEKURANGAN pemain berpengalaman bukan penghalang buat CG Esports untuk menampilkan aksi cemerlang pada Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (M7) yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia.
Jurulatih CG Esports Fikri Aiman Mohd Khidzir yang mesra disapa Rainn percaya ia menjadi satu kelebihan kerana data pasukan itu kurang diketahui lawan.
"Dalam pasukan ini, kami ada dua pemain yang pernah beraksi pada kejohanan dunia iaitu Ciku CikuGais (Muhammad Danial Mohamad Fuad) dan Garyy (Muhammad Syafizan Najmi Kamarulzaman).
"Walaupun kami kurang pemain berpengalaman, saya lihat ia sebagai satu kelebihan kerana mereka tidak tahu banyak informasi pasal pasukan kami. Malah, pemain yang kami bawa juga tidak kurang hebatnya," katanya sebelum berlepas ke Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Dalam pada itu, Rainn ketika ditanya berkenaan sasaran pada M7 berkata pasukan itu tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik pada penampilan sulung mereka pada kejohanan berkenaan.
Beliau sebaliknya berharap anak buahnya dapat menampilkan gaya permainan yang hebat bagi membanggakan nama Malaysia di mata dunia.
M7 berlangsung dari 3 hingga 25 Januari bermula dengan format wild card, dua pasukan Malaysia iaitu CG Esports dan SRG.OG hanya akan mula bermain dalam aksi kumpulan pada 10 hingga 17 Jan ini. - Bernama
Ringkasan AI
- KEKURANGAN pemain berpengalaman bukan penghalang untuk CG Esports tampil cemerlang di Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (M7) di Jakarta, Indonesia
- Jurulatih CG Esports, Rainn, melihat kurangnya data tentang pasukannya sebagai kelebihan
- Pasukan ini mempunyai dua pemain yang berpengalaman beraksi di kejohanan dunia
- CG Esports tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik untuk penampilan sulung mereka di M7
- Jurulatih berharap pemainnya dapat membanggakan Malaysia dengan gaya permainan yang hebat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
