SkyWorld buka galeri jualan kedua di Pulau Pinang

SKYWORLD Development Berhad (SkyWorld) membuka galeri jualan kedua di Pulau Pinang menerusi pelancaran awal SkyWorld Gallery @ Bandar Cassia, Batu Kawan pada Sabtu.
Pembukaan galeri baharu itu menyusuli pembukaan galeri jualan pertamanya di Seberang Jaya pada awal tahun ini, sekali gus memperkukuh kehadiran syarikat pemaju hartanah itu di negeri berkenaan serta wilayah utara.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld, Lee Chee Seng berkata, pembukaan galeri baharu itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha syarikat memperluaskan operasinya di Pulau Pinang.
Menurutnya, SkyWorld komited menyediakan kediaman berkualiti menerusi penerapan inovasi, termasuk penggunaan teknologi Pembinaan Volumetrik Pratuang dan Siap Kemasan (PPVC) bagi meningkatkan ketepatan, kualiti serta kecekapan pembinaan.
"Selepas pembukaan galeri jualan pertama di Seberang Jaya, pihak kami berbesar hati dapat mencatat satu lagi pencapaian penting menerusi pembukaan SkyWorld Gallery @ Bandar Cassia.
“Seiring usaha memperluaskan kehadiran kami di Pulau Pinang, SkyWorld kekal komited menyediakan kediaman berkualiti melalui inovasi, termasuk penggunaan teknologi PPVC,” katanya.
Majlis pembukaan disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dengan kehadiran pengurusan SkyWorld, wakil media, rakan perniagaan dan tetamu jemputan.

SkyWorld akan menggunakan kaedah PPVC bagi projek pembangunannya di Batu Kawan melibatkan pembuatan modul bangunan dalam persekitaran kilang terkawal sebelum diangkut ke tapak untuk dipasang.
Pendekatan itu berpotensi meningkatkan ketepatan pembinaan, keseragaman mutu kerja dan kecekapan pelaksanaan projek.
Pembukaan galeri berkenaan turut berlangsung serentak dengan penganjuran Anugerah Pendidikan SkyWorld Guang Ming 2026, mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong pendidikan dan pembangunan generasi masa depan.
SkyWorld akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan berkualiti yang mampu meningkatkan taraf hidup, mewujudkan nilai jangka panjang serta memberi sumbangan positif kepada komuniti setempat.
SkyWorld Gallery @ Bandar Cassia terletak di Unit 29 dan 31, Vervea, Jalan Vervea 1, Bandar Cassia, Simpang Ampat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

