Petronas lantik bekas Datuk Bandar KL sebagai Penasihat Hartanah

Maimunah Mohd Sharif
Maimunah Mohd Sharif
A
A
A

SHAH ALAM - Petronas mengumumkan pelantikan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sebagai Penasihat Hartanah berkuat kuasa 17 November depan.

Pelantikan tokoh perancang bandar terkemuka peringkat global itu memperkukuh hala tuju pembangunan hartanah syarikat, khususnya melibatkan tanah Sungai Besi, projek Kota Madani dan beberapa pembangunan strategik lain di bawah portfolio syarikat minyak serta gas nasional tersebut.

"Maimunah akan memainkan peranan penting dalam membimbing dan merangka strategi pertumbuhan fasa seterusnya bagi portfolio hartanah Petronas.

"Kepakaran teras beliau selama lebih 40 tahun adalah dalam bidang pembangunan bandar mapan," katanya mengerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Datuk Bandar Pulau Pinang, selain menjadi presiden wanita pertama Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Di peringkat antarabangsa, Maimunah mencipta sejarah menjadi wanita Asia pertama dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung dan Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) selain pernah memangku jawatan Ketua Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Nairobi.

Beliau juga merupakan Profesor Kehormat di Bartlett School, University College London dan Profesor Adjung di Universiti Malaya.

Antara pengiktirafan terkini diterima beliau ialah Anugerah Kepimpinan di World Smart City Awards di Barcelona dan Anugerah Kepimpinan Terbaik kategori Bandar daripada Kementerian Perumahan Malaysia.

"Pengurusan Petronas mengalu-alukan kehadiran Datuk Seri Maimunah dan yakin kepakaran serta pengalaman luas beliau akan menjadi aset penting kepada syarikat," menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Petronas mengumumkan pelantikan Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sebagai Penasihat Hartanah berkuat kuasa 17 November
  • Maimunah akan memainkan peranan penting dalam strategi pertumbuhan portfolio hartanah Petronas
  • Beliau mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam pembangunan bandar mapan
  • Maimunah pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang serta Timbalan Setiausaha Agung UN-Habitat
  • Pengurusan Petronas mengalu-alukan kedatangan Maimunah dan yakin beliau akan menjadi aset penting bagi syarikat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!