TNB, IJNF perkukuh tanggungjawab sosial

Kakitangan IJN Foundation - TNB sedang melayan waris pesakit
yang menginap di Better Brighter Dormitory.
Kakitangan IJN Foundation - TNB sedang melayan waris pesakit yang menginap di Better Brighter Dormitory.
A
A
A

KUALA LUMPUR - IJN Foundation (IJNF) dengan kerjasama strategik Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh komitmen sosial korporat melalui kemudahan Better Brighter Dormitory, yang memberi sinar harapan, ketenangan dan sokongan bermakna kepada keluarga pesakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah IJNF, Datuk Akmal Arief Mohamed Fauzi berkata, kemudahan berkenaan menyediakan penginapan sementara yang selesa kepada waris atau penjaga pesakit yang sedang menerima rawatan di IJN.

“Fungsi utama Better Brighter Dormitory ialah menyediakan kemudahan penginapan sementara yang selesa kepada waris atau penjaga pesakit.

“Kemudahan ini memberi kelegaan, khususnya kepada mereka yang datang dari jauh agar dapat berada dekat dan menemani insan tersayang sepanjang tempoh rawatan tanpa perlu risau mengenai logistik serta kos penginapan,” katanya kepada pemberita di IJN pada Khamis.

Seorang waris pesakit meluangkan masa menonton televisyen di ruang rehat Better Brighter Dormitory yang dilengkapi penyaman udara dan perabot selesa.
Seorang waris pesakit meluangkan masa menonton televisyen di ruang rehat Better Brighter Dormitory yang dilengkapi penyaman udara dan perabot selesa.

Menurutnya, kemudahan itu disediakan khusus untuk keluarga pesakit IJN, dengan keutamaan diberikan kepada waris pesakit di wad kritikal, keluarga dari luar Lembah Klang serta golongan berpendapatan rendah (B40).

“Kadar penginapan yang dikenakan amat minimum, bergantung kepada jenis katil atau bilik keluarga yang dipilih.

“Bagi mereka yang tidak berkemampuan, pengecualian caj turut diberikan, terutama bagi keluarga yang menginap dalam tempoh lama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang pekerja sedang mengemas katil yang disediakan untuk kemudahan keluarga yang menginap dorm penginapan sementara itu.
Seorang pekerja sedang mengemas katil yang disediakan untuk kemudahan keluarga yang menginap dorm penginapan sementara itu.

Akmal Arief menjelaskan, Better Brighter Dormitory dilengkapi pelbagai kemudahan bagi memastikan keselesaan penghuni termasuk penyaman udara, ruang pantri, mesin basuh dan pengering pakaian serta ruang rehat dengan televisyen.

Dormitori itu mempunyai empat unit bilik keluarga, satu dorm lelaki dan dua dorm perempuan dengan kapasiti maksimum 56 penghuni pada satu masa serta serta purata 3,500 penghuni setiap tahun.

Terajui amalan kelestarian dan ESG

Dalam pada itu, Akmal Arief berkata IJNF turut mengurus dormitori tersebut berasaskan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan menekankan tadbir urus baik, pengurusan sumber secara cekap serta amalan kelestarian tenaga.

“Penghuni digalakkan menjimatkan tenaga dengan menetapkan suhu penyaman udara pada 24°C, mematikannya apabila tidak digunakan selain mengelakkan pembaziran air,” jelasnya.

Beberapa waris pesakit menikmati hidangan sambil berbual mesra di ruang makan Better Brighter Dormitory yang selesa dan lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan harian penghuni.
Beberapa waris pesakit menikmati hidangan sambil berbual mesra di ruang makan Better Brighter Dormitory yang selesa dan lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan harian penghuni.

Beliau berkata, kemudahan itu bukan sekadar tempat penginapan tetapi turut berfungsi sebagai ruang sokongan sosial dan emosi kepada keluarga pesakit.

Menurutnya, sinergi berterusan antara TNB dan IJNF mencerminkan keprihatinan kedua-dua pihak dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti serta menyumbang kepada sistem kesihatan negara yang lebih mampan dan inklusif.

INFO

 

Better Brighter Dormitory IJNF–TNB

 

*Menyediakan penginapan sementara kepada keluarga pesakit IJN.

*Keutamaan: Waris pesakit wad kritikal, keluarga luar Lembah Klang, dan golongan B40.

*Kapasiti: 56 penghuni pada satu masa; purata tahunan sekitar 3,500 penghuni.

*Fasiliti: Empat bilik keluarga, satu dorm lelaki, dua dorm perempuan, pantri, penyaman udara, mesin basuh/pengering, dan ruang rehat TV.

Inisiatif Better Brighter Anjung Kasih (YKN–TNB)

*Sumbangan TNB: Sejak 2017, TNB telah menyalurkan lebih RM6.4 juta bagi menampung kos naik taraf, kelengkapan, penyelenggaraan dan operasi di IJN, Hospital Serdang, Hospital Melaka, Hospital Raja Perempuan Zainab II (Kota Bharu) serta Hospital Sultanah Nur Zahirah (Kuala Terengganu).

*Manfaat: Lebih 6,000 keluarga setahun mendapat manfaat melalui program Better Brighter Shelter, hasil kerjasama TNB-Yayasan Kebajikan Negara (YKN)-Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

 

Ringkasan AI

  • IJN Foundation dengan kerjasama TNB menyediakan Better Brighter Dormitory untuk keluarga pesakit jantung di IJN
  • Kemudahan ini menyediakan penginapan sementara yang selesa bagi waris atau penjaga pesakit
  • Dilengkapi dengan pelbagai fasiliti seperti penyaman udara, ruang pantri, mesin basuh, dan ruang rehat TV
  • Dormitori mempunyai kapasiti maksimum 56 penghuni pada satu masa
  • Kemudahan itu memprioritikan keluarga pesakit wad kritikal, dari luar Lembah Klang dan golongan B40

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!