'Dr Akmal siapa nak tentukan kedudukan DAP di Melaka?' - DAP Melaka

MELAKA - DAP Melaka tidak akan ‘termakan’ provokasi dicetuskan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mencabar DAP supaya keluar daripada Kerajaan Perpaduan di negeri itu.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, kedudukan DAP akan ditentukan oleh parti itu sendiri dan bukannya oleh orang lain.
“Seperti yang saya sebut tadi, awak siapa? Dan sudah pasti kita faham kenapa Dr Akmal berkata begitu. Saya mahu tegaskan di sini, budak Jasin ini sejak awal penubuhan Kerajaan Perpaduan memang mahu menjatuhkan kerajaan tersebut.
“Kalau kita lihat apa yang dia sebut semalam dalam konvensyen khas mereka, dia mahu mengembalikan Muafakat Nasional.
“Jadi jelas sebenarnya, dari awal lagi penubuhan Kerajaan Perpaduan, dia memang mahu menjatuhkan kerajaan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Konvensyen DAP Melaka di Restoran LTP di sini pada Ahad.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Poay Tiong berkata, sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, DAP tidak akan mengikut rentak yang dimainkan oleh Dr Akmal dan menegaskan bahawa keputusan hala tuju parti akan ditentukan oleh DAP sendiri.
“Seperti yang saya jelaskan tadi, Exco Kerajaan Negeri Melaka yang diwakili oleh DAP adalah atas semangat Kerajaan Perpaduan.
“Pada waktu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengangkat sumpah, beliau mengambil peluang itu untuk menunjukkan semangat perpaduan dengan mengajak DAP mempunyai seorang wakil dalam Exco Kerajaan Negeri.
“Jadi atas semangat tersebut, kita menerima jemputan beliau untuk menyertai kerajaan. Seperti yang saya katakan, Dr Akmal siapa untuk menentukan kedudukan DAP? Biarlah DAP sendiri yang tentukan,” katanya.
Mengulas mengenai hala tuju DAP Melaka, beliau berkata perkara itu akan ditentukan mengikut proses parti.
“Kita akan tunggu. Mereka kini sedang berbahas dan kita akan mengumpulkan pandangan serta cadangan daripada akar umbi dan perwakilan cawangan untuk dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) bagi dibincangkan.
“Seperti yang saya sebut, itu memang hasrat Dr Akmal. Kita tidak akan terikut-ikut jejaknya. Jadi buat apa kita mahu termakan provokasi? Yang penting, kedudukan DAP akan ditentukan oleh DAP sendiri.
“Kita bukan gila kuasa, bukan tamak jawatan, tetapi yang penting ialah apa kesannya selepas sesuatu keputusan dibuat.
“Apakah kesannya kepada negeri, kepada rakyat dan kepada parti. Itu yang paling utama. Kita tidak akan terikut-ikut permainannya” ujarnya.
Pada Sabtu, Dr Akmal mencabar DAP supaya meletakkan jawatan di Melaka memandangkan parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN).
Dr Akmal membuat kenyataan itu ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Susulan itu, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, Allex Seah dari DAP, menerusi satu hantaran di Facebook pada hari sama menyatakan kesediaannya untuk meletakkan jawatan sekiranya Kerajaan Perpaduan Negeri Melaka dibubarkan.
Ringkasan AI
- DAP Melaka tidak akan termakan provokasi Ketua Pemuda UMNO yang mencabar keluar daripada Kerajaan Perpaduan negeri itu
- Kedudukan DAP dalam kerajaan ditentukan oleh parti sendiri, bukan orang lain
- Dr Akmal Saleh berhasrat menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dan mengembalikan Muafakat Nasional
- Semangat Kerajaan Perpaduan ditunjukkan melalui pengangkatan seorang wakil DAP dalam Exco Kerajaan Negeri
- Hala tuju DAP akan ditentukan mengikut proses parti dan berdasarkan kesan kepada negeri, rakyat, dan parti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

