Lelaki ditemui mati di tanah perkuburan, dipercayai dibunuh

KUCHING – Seorang lelaki ditemui mati, manakala seorang lagi lelaki cedera parah di tanah perkuburan di Jalan Lumba Kuda, Kota Sentosa pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 12.40 tengah hari, berkaitan dua lelaki ditemui mengalami kecederaan di kawasan perkuburan berkenaan.
"Sepasukan polis bergegas ke lokasi dan mendapati seorang lelaki berusia 67 tahun terbaring di atas tanah dengan kesan kecederaan di badannya, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian.
“Seorang lagi lelaki berusia 34 tahun turut ditemui dalam keadaan parah dan dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Irwan berkata, motif kejadian masih dalam siasatan, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Sylvarius Gopog di talian 013-8637241 atau Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233 serta mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki ditemui mati dan seorang lagi cedera parah di tanah perkuburan di Jalan Lumba Kuda, Kota Sentosa
- Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi, menerima laporan kejadian pada jam 12.40 tengah hari
- Seorang lelaki berusia 67 tahun disahkan meninggal dunia manakala lelaki berusia 34 tahun ditemui cedera parah dan dikejarkan ke hospital
- Motif kejadian masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
- Orang ramai diminta membantu siasatan dengan menghubungi Asisten Superintenden Sylvarius Gopog atau Bilik Gerakan IPD Padawan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
