Lelaki ‘kantoi’ simpan buaya tembaga bernilai ratusan ribu

JOHOR BAHRU – Taktik licik seorang lelaki menyembunyikan empat ekor buaya tembaga bernilai ratusan ribu ringgit dalam but sebuah kereta terbongkar dalam operasi bersepadu dijalankan sekitar bandar raya ini pada Jumaat.
Operasi itu dijalankan hasil risikan dan kerjasama Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, susulan maklumat awam mengenai kegiatan mencurigakan melibatkan pemilikan hidupan liar tanpa kebenaran.
Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof, berkata serbuan tersebut membawa kepada penemuan empat ekor anak buaya tembaga yang disimpan tanpa permit sah.
“Keempat-empat buaya itu ditemui disorokkan di dalam sebuah kotak polistrin yang diletakkan dalam but sebuah kereta, tanpa sebarang permit atau kelulusan daripada pihak berkuasa.
“Buaya tembaga merupakan spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan pemilikan tanpa Permit Khas adalah satu kesalahan serius,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, serbuan itu turut membawa kepada rampasan sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan bagi tujuan pengangkutan, sebuah kotak polistrin serta sebuah telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes.
“Anggaran nilai rampasan melibatkan empat ekor anak buaya tembaga itu dianggarkan berjumlah RM240,000, manakala kenderaan dan barangan berkaitan bernilai kira-kira RM45,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM285,000.
“Operasi sama turut menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara PERHILITAN Johor melengkapkan kertas siasatan,” katanya.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Operasi Bersepadu Khazanah yang dijalankan ini membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa dalam membanteras kegiatan pemilikan dan penyeludupan hidupan liar secara haram.
“PSP Bukit Aman akan terus memperkukuh kerjasama dengan PERHILITAN serta agensi berkaitan bagi memastikan khazanah biodiversiti negara terus terpelihara dan tidak dieksploitasi demi kepentingan pihak tertentu,” katanya.
Ringkasan AI
- Taktik licik seorang lelaki menyembunyikan empat ekor buaya tembaga bernilai ratusan ribu ringgit dalam but kereta terbongkar
- Operasi bersepadu dijalankan hasil risikan PSP Bukit Aman bersama PERHILITAN Johor
- Serbuan membawa kepada penemuan empat ekor anak buaya tembaga disimpan tanpa permit sah
- Anggaran nilai rampasan termasuk buaya dan barangan berkaitan adalah RM285,000
- Operasi membuktikan keberkesanan kerjasama antara agensi dalam membanteras kegiatan pemilikan dan penyeludupan hidupan liar secara haram
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

