Lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika menjala udang di Kota Samarahan

KUCHING - Seorang lelaki dikhuatiri hilang dipercayai dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti menjala udang di sungai berhampiran Kampung Lubok Punggor, Kota Samarahan dekat sini petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, mangsa dikenali sebagai Ahmad Alzadkhri Sudin, 32, keluar bersama ahli keluarganya awal pagi sebelum dilaporkan dibaham buaya sekitar pukul 4 petang.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 200 meter dari kampung dan usaha awal pencarian oleh penduduk gagal menemui mangsa.
"Dilaporkan mangsa menjalankan aktiviti menjala udang di tebing Sungai Lubuk Punggor Simunjan menggunakan perahu bersama ahli keluarganya pada awal pagi,” katanya.
PGO JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan pada jam 5.56 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan serta BBP Kota Samarahan dikerahkan ke lokasi sejauh 45 kilometer.
Seramai enam anggota menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda tiba di lokasi pada pukul 7.03 malam untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR), namun operasi ditangguhkan pada7.40 malam dan akan disambung semula pagi esok. - Bernama
Ringkasan AI
- Seorang lelaki dikhuatiri hilang dibaham buaya di sungai berhampiran Kampung Lubok Punggor, Kota Samarahan
- Mangsa, Ahmad Alzadkhri Sudin berumur 32 tahun, dilaporkan hilang ketika menjala udang
- Kejadian berlaku sekitar 200 meter dari kampung dan usaha pencarian awal oleh penduduk gagal
- PGO JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan dan pasukan penyelamat dikerahkan ke lokasi
- Operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan dan akan disambung semula pagi esok
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
