Keluar Kerajaan Perpaduan, biar MKT UMNO buat keputusan - Zambry

Zambry ketika sidang akhbar pada Ahad.
Zambry ketika sidang akhbar pada Ahad.
A
A
A

LUMUT – Gesaan yang dibangkitkan Pemuda UMNO supaya parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan perlu terlebih dahulu dibawa kepada pertimbangan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu selari dengan struktur dan proses membuat keputusan dalam UMNO yang mengutamakan perbincangan di peringkat tertinggi parti.

“Itu pandangan Pemuda sahajalah. Sepertimana yang disebut oleh Ketua Pemuda semalam pun, apa pun sebarang pandangan itu akan diserahkan kepada Majlis Tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Kembali ke Sekolah bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung, di sini pada Ahad.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh dilaporkan menggesa parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan kembali menghidupkan Muafakat Nasional (MN) bersama Pas.

Berucap dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut mencadangkan supaya UMNO memilih untuk berada di blok pembangkang sekiranya mengambil keputusan keluar daripada kerajaan sedia ada.

Mengulas lanjut, Zambry yang juga Ahli MKT UMNO menegaskan, meskipun terdapat desakan tertentu, kepimpinan Pemuda UMNO sendiri memahami bahawa sebarang keputusan berkaitan hala tuju parti perlu dibuat dengan kematangan.

“Dalam konteks ini juga, seperti yang kita dengar, walaupun desakan dibuat, saudara Mohamad Akmal sedar bahawa apa pun keputusan akhir akan diserahkan kepada Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Gesaan Pemuda UMNO untuk parti menarik diri dari Kerajaan Perpaduan dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi
  • Setiausaha Agung BN menyatakan proses keputusan dalam UMNO melibatkan perbincangan di peringkat tertinggi parti
  • Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menggesa UMNO menarik diri dan menghidupkan semula Muafakat Nasional bersama Pas
  • Cadangan untuk UMNO berada di blok pembangkang jika keluar dari kerajaan
  • Keputusan akhir berkaitan hala tuju parti akan dibuat dengan kematangan dan diserahkan kepada Majlis Tertinggi UMNO

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!