Penyelarasan saringan di pintu pelepasan KLIA banteras penyeludupan - Kastam

SEPANG – Penyelarasan proses pemeriksaan penumpang di pintu pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 yang bermula pada Khamis memperkukuh kawalan keselamatan termasuk membanteras cubaan penyeludupan barangan terlarang ke luar negara.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, penyelarasan itu melibatkan pemindahan aktiviti saringan daripada balai pelepasan ke pintu pelepasan.
Menurutnya, langkah berkenaan bukan sahaja melancarkan pergerakan penumpang, malah membolehkan penempatan semula anggota ke balai ketibaan bagi mempertingkatkan pemeriksaan terhadap penumpang yang tiba.
"Pendekatan ini membolehkan pengagihan tenaga kerja dilakukan dengan lebih berkesan selaras dengan peningkatan jumlah penumpang, khususnya menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Melalui penyelarasan ini, kira-kira 18 pegawai yang sebelum ini ditempatkan di pintu pelepasan dapat digerakkan ke balai ketibaan bagi mengukuhkan kawalan dan pemeriksaan di kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui semasa lawatan di KLIA di sini pada Jumaat.
Katanya, kelemahan dalam susun atur terdahulu dikenal pasti susulan lawatan Perdana Menteri pada 2023 apabila hanya satu mesin pengimbas didapati beroperasi ketika itu.
"Malah, maklum balas turut diterima daripada Kastam Korea susulan satu kes penyeludupan dadah yang dikesan di negara berkenaan.
"Situasi itu mendorong kepada perolehan lima mesin pengimbas berteknologi tinggi baharu pada Disember 2023 bagi menggantikan unit sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Operasi KLIA Terminal 1, Abd Hasman Abd Muhimin berkata, penyelarasan proses saringan tersebut memberi kesan positif terhadap kelancaran aliran penumpang.
"Dengan pemindahan proses saringan ke pintu pelepasan, satu titik kesesakan utama dalam terminal berjaya ditangani.
Langkah ini membantu mengurangkan masa menunggu antara 5 hingga 8 minit pada waktu puncak," katanya.
Ringkasan AI
- Penyelarasan proses pemeriksaan penumpang di pintu pelepasan KLIA Terminal 1 memperkukuh kawalan keselamatan
- Pemindahan aktiviti saringan memudahkan pergerakan penumpang dan mempercepatkan pemeriksaan bagi penumpang yang tiba
- Pengagihan tenaga kerja lebih berkesan menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026
- Perolehan lima mesin pengimbas baru pada Disember 2023 menggantikan unit sedia ada
- Penyelarasan proses saringan mengurangkan masa menunggu penumpang antara 5 hingga 8 minit pada waktu puncak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

