Liverpool tetap perlukan magis Salah - Rush

LEGENDA bola sepak Liverpool, Ian Rush percaya khidmat Mohamed Salah perlu terus ditagih The Reds sekiranya kelab itu mahu mengecapi kejayaan dan menjulang piala.
Kenyataan itu hadir ketika penyerang prolifik tersebut sedang mengharungi musim yang paling mencabar di Anfield.
Bintang berusia 33 tahun itu, yang telah meledak 250 gol buat The Reds sejak perpindahannya dari Roma pada 2017, kini bergelut dengan prestasi apabila hanya menjaringkan lima gol dan empat bantuan gol dalam 20 penampilan di bawah kendalian Arne Slot musim ini.
Biarpun statistik tersebut dianggap memadai bagi kebanyakan pemain, namun harapan yang diletakkan di bahu Salah jauh lebih tinggi.
Pemain kelahiran Mesir itu sebelum ini telah menandatangani kontrak baharu sehingga Jun 2027.
Musim lalu, dia cemerlang menjaringkan 34 gol dan melakukan 23 bantuan gol dalam semua pertandingan sekali gus membantu Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris.
Masa depan Salah di Anfield mula menjadi tanda tanya apabila Slot bertindak menyisihkan pemain veteran itu daripada kesebelasan utama.
Situasi menjadi tegang apabila Salah secara terbuka mendakwa Liverpool seolah-olah 'menganiayanya' dan mendakwa dia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Slot selepas keputusan seri 3-3 menentang Leeds.
Bagaimanapun, kedua-dua individu itu dilihat telah menjernihkan keadaan seminggu kemudian apabila Salah kembali membantu pasukan menewaskan Brighton dalam aksi liga.
Salah kini sedang menyertai tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Mesir bagi kempen Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
Walaupun hubungan antara Salah dan Slot tampak pulih, spekulasi mengenai masa depan jangka panjang pemain itu terus bertiup kencang.
Dia terus dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Pro Saudi sebaik sahaja tamat kejohanan AFCON pada Januari ini.
Namun Rush, yang memegang rekod penjaring terbanyak Liverpool dengan 346 gol mendesak agar Salah kekal.
"Perkara terbaik yang saya dengar sejak insiden itu ialah apabila Curtis Jones memberitahu bahawa Mo (Salah) telah meminta maaf. Segala kemelut itu sudah berakhir.
"Kita perlukan Salah jika kita mahu berjaya memenangi perlawanan dan piala.
"Memang bagus melihat dia menjaringkan gol untuk Mesir, tetapi sekarang kita mahu dia kembali meledak gol untuk Liverpool," kata Rush.
Di pentas antarabangsa, Salah telah memacu Mesir mara ke pusingan 16 terakhir AFCON selepas menjaringkan gol kemenangan menentang Zimbabwe dan Afrika Selatan.
Ringkasan AI
- Ian Rush percaya Mohamed Salah perlu terus berada di Liverpool untuk kejayaan kelab
- Salah mengalami musim mencabar dengan hanya lima gol dan empat assist dalam 20 penampilan
- Pemain tersebut telah menandatangani kontrak baru hingga Jun 2027 dengan Liverpool
- Hubungan antara Salah dan pengurus Arne Slot sempat tegang tetapi telah pulih
- Salah dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Pro Saudi selepas AFCON
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
