Salah sudah tidak diperlukan? Ini enam legenda tinggalkan kelab dengan cara pahit

MASA depan Mohamed Salah di Liverpool kini dilihat semakin kelam dan bakal berakhir dengan cara yang kurang menyenangkan selepas bintang Mesir itu meluahkan ketidakpuashatian terhadap kelab secara terbuka.
Kenyataan panas yang dikeluarkan susulan keputusan seri 3-3 Liverpool menentang Leeds United dilihat menjadi keretakan hubungan antara Salah dan pengurusan The Reds.
Salah seorang pemain terbaik dalam sejarah kelab itu kini dijangka meninggalkan Anfield tanpa sebarang majlis perpisahan yang selayaknya.
Namun, Salah bukanlah legenda pertama yang meninggalkan kelab tanpa penghormatan yang sewajarnya.
Berikut enam lagi contoh legenda bola sepak dunia yang mengalami nasib serupa:
6. Lionel Messi (Barcelona)
Sebelum 2021, bayangan Messi meninggalkan Barcelona adalah sesuatu yang mustahil, apatah lagi jika ia berlaku tanpa sebarang keraian.
Kegagalan Barcelona menguruskan kewangan kelab menjadi pengajaran berguna buat semua pasukan.
Disebabkan masalah had gaji La Liga dan kegagalan memperbaharui kontrak, Messi tidak dapat didaftarkan.
Daripada khabar angin perpindahan, ia bertukar menjadi sidang media penuh air mata dalam masa beberapa hari sahaja.
Perlawanan terakhir pemain terbaik dunia itu hanyalah kekalahan 2-1 kepada Celta Vigo di hadapan stadium Camp Nou yang kosong.
Sehingga kini, Messi belum mendapat perpisahan rasmi, walaupun ura-ura mengenai pembinaan tugu penghormatan sering diperkatakan.
5. Roy Keane (Manchester United)
Perpisahan Keane dari Old Trafford mungkin yang paling kontroversi. Semuanya bermula dengan satu temubual MUTV yang tidak pernah disiarkan.
Selepas kekalahan memalukan 4-1 kepada Middlesbrough, Keane yang merupakan kapten pasukan telah mengkritik rakan sepasukannya dengan begitu teruk dalam sesi rakaman tersebut.
Pengurus ketika itu, Sir Alex Ferguson berang dengan tindakan Keane sehingga menyebabkan kedudukan kapten itu tidak lagi boleh diselamatkan.
Bukan sahaja hilang jawatan kapten, kontrak Keane ditamatkan serta-merta dan beliau meninggalkan kelab tanpa sebarang majlis perpisahan.
4. Cristiano Ronaldo (Real Madrid & Manchester United)
Ronaldo memiliki rekod dua perpisahan yang menyedihkan, namun kedua-duanya berpunca daripada tindakannya sendiri.
Pertama di Real Madrid yang mana selepas bertahun-tahun memberi bayangan mahu berhijrah, beliau akhirnya berpindah ke Juventus pada 2018 akibat pertikaian kontrak.
Penyokong Los Blancos tidak sempat mengucapkan selamat tinggal.
Namun, ia tidak setanding dengan cara beliau meninggalkan Manchester United buat kali kedua.
Melalui temu bual sensasi bersama Piers Morgan, Ronaldo mengkritik terbuka pengurus Erik ten Hag dan legenda kelab seperti Wayne Rooney.
Akibatnya, kontraknya ditamatkan dan legasinya di Old Trafford sedikit tercalar sebelum berhijrah ke Arab Saudi.
3. Luis Suarez (Barcelona)
Apa balasan yang diterima selepas menjadi sebahagian daripada trio serangan terbaik dunia dan memenangi pelbagai piala?
Bagi Luis Suarez, balasannya adalah disingkirkan begitu sahaja.
Barcelona bertindak melepaskan Suarez ke Atletico Madrid apabila merasakan khidmatnya tidak lagi diperlukan.
Suarez mengakui berasa 'tidak dihormati' dengan cara layanan kelab tersebut.
Namun, beliau membalas dendam dengan cara paling manis, membantu Atletico memenangi liga pada musim berikutnya.
Presiden Barcelona ketika itu, Josep Maria Bartomeu menjadi antara individu paling dibenci penyokong atas tindakan tersebut.
2. Iker Casillas (Real Madrid)
Pengakhiran karier Casillas di Madrid bermula dengan konflik bersama Jose Mourinho.
Pengurus itu bertindak merehatkan kapten kelab dan legenda Sepanyol tersebut demi memberi laluan kepada Diego Lopez.
Keadaan tidak berubah di bawah kendalian Carlo Ancelotti. Menjelang musim panas 2015 dengan kehadiran Keylor Navas, Casillas menuduh Presiden Florentino Perez cuba memaksa beliau keluar.
Akhirnya, Casillas berhijrah ke Porto. Cara pemergiannya dikritik hebat di seluruh Sepanyol, malah kapten Barcelona, Xavi turut menyifatkan Perez dan Madrid sebagai tidak mengenang jasa.
1. Sergio Ramos (Real Madrid)
Casillas bukan satu-satunya legenda Madrid yang pergi dengan hati lara. Sergio Ramos, wira gol minit ke-93 turut meninggalkan Bernabeu tanpa perpisahan sewajarnya.
Selepas musim yang dibelenggu kecederaan, Madrid mengumumkan Ramos akan pergi pada musim panas 2021.
Dalam majlis perpisahannya, Ramos mendedahkan bahawa beliau sebenarnya bersedia menerima tawaran lanjutan kontrak selama setahun, namun dimaklumkan bahawa tawaran tersebut rupa-rupanya sudah tamat tempoh tanpa pengetahuannya.
Akibatnya, kapten legenda itu terpaksa meninggalkan kelab sebagai ejen bebas dan menyertai PSG.
Ringkasan AI
- Masa depan Mohamed Salah di Liverpool semakin kelam selepas dia meluahkan ketidakpuasan terhadap kelab
- Kenyataan Salah selepas keputusan seri menentang Leeds United meningkatkan ketegangan dengan pengurusan Liverpool
- Salah dijangka meninggalkan Anfield tanpa majlis perpisahan yang sewajarnya
- Banyak legenda bola sepak dunia lain juga mengalami perpisahan yang tidak menyenangkan dengan kelab mereka
- Contoh pemain yang mengalami nasib serupa termasuk Lionel Messi dengan Barcelona dan Cristiano Ronaldo dengan Real Madrid serta Manchester United
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
